Khamis, 31 Januari 2019

Hikayat Negara Tanah Semenanjung

Adapun dua tahun lebih memerintah dalam syiar Islamiah dan daulah Tanah Jawi, maka dengan takdir Allah bersaksikan seluruh rakyat jelata pada dua puluh sembilan haribulan Rabiulakhir, Hijrah seribu empat ratus empat puluh; Sultan Muhammad Kelima memulangkan semula tampuk Raja Diraja kepada daulat Tanah Semenanjung atas rahsia sulit yang tidak diketahui lalu berangkatlah Duli Baginda Yang Dipertuan Yang Maha Mulia pulang ke tanah timur Kerajaan Cermin.
Hatta, hiruk-pikuk segala rakyat marhaen di segenap pelusuk Tanah Semenanjung melihat Singgahsana Diraja Utama Negara sunyi sepi tanpa jasad yang berganti. Maka, berbisik dan berpesan-pesan antara Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri bersama Dato Maharaja Lela, Dato Pengelola Diraja, dan Pemegang Mohor Utama Negara Tanah Semenanjung untuk berhimpun dan bermusyawarah bagi memilih siapakah gerangan yang akan mengisi kesunyian Singgahsana Diraja Utama Negara.
Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Adapun Tengku Mahkota Tengku Abdullah masih dalam kusut pikiran memikirkan tentang ayahandanya yang sudah gering terlalu lama. Hatta, berpesanlah Tengku Mahkota Tengku Abdullah pada Tengku Muda, Tengku Arif Temenggong, Tengku Arif Bendahara, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Besar, Tengku Seri Nila Utama dan Tengku Panglima Besar. Tidak dilupakan kepada Menteri Ke-Empat Orang Kaya Indera dan Menteri Delapan Dato' Setia untuk turut serta memberi buah fikiran kepada gantian takhta Diraja Pahang.
Maka, dengan Rahmat Allah Azzawajalla, pada malam Sabtu, dua belas haribulan Jamadilawal, Hijrah seribu empat ratus empat puluh ; Duli Baginda Sultan Haji Ahmad Shah telah memberi limpah perkenan restu kepada anakandanya, Tengku Mahkota Tengku Abdullah sebagai Bakal Sultan yang akan ditabalkan di singgahsana Diraja Pahang.
Syahdan, bersibuklah para dayang dan hulubalang dalam riuh rendah disegenap penjuru istana membuat persiapan pertabalan sultan yang baharu di Balairung Seri. Maka, tercatatlah satu ceritera diraja pada Dhuha Selasa, enam belas haribulan Jamadilawal, Hijrah yang sama; naiklah Tengku Mahkota Tengku Abdullah di singgahsana diraja memegang takhta dengan gelaran penuh takzimnya; Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Al-Musta'in Billah Shah, Sultan Pahang Ke-6.
Maka, pada lapan belas haribulan Jamadilawal, Hijrah yang sama; Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri berangkat mencemar duli ke Istana Negara Tanah Semenanjung untuk menetapkan bakal sultan yang akan memegang tampuk Diraja Utama Negara selama lima penggal. Undian demi undian telah dilaksanakan dengan penuh sulit mengikut adat istiadat diraja. Hatta, yakinlah bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri dengan sebulat muafakat menyerahkan tapak cerpu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kepada Duli Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Pahang Darul Makmur yang akan bersemayam di Singgahsana Diraja Utama Negara.
Masa yang ditetapkan telah tiba. Hatta, pada dua puluh lima haribulan Jamadilawal, Hijrah seribu empat ratus empat puluh; berangkatlah Duli Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Yang Maha Mulia dalam keadaan manis senyumannya bersama isteri tercinta dari tanah tua Kuantan ke Istana Negara dengan gah sayap Garuda berurat kursani membelah awan diangkasa raya lalu turunlah ia di Kota Utama Tanah Semenanjung. Bersambutlah Raja Muda atas wakil kerabat di Tanah Jajahan Selangor. Lalu, dibawa ke istana dengan iringan pancaragam dan tabik hormat para pegawai serta Angkatan Tentera Diraja bersama panji-panji Duli Baginda Yang Maha Mulia.
Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Dengan zahir Allah Subhanahu Wata'ala, pada terbit Dhuha diufuk timur, maka bersabdalah Duli Baginda Yang Maha Mulia atas Ikrar Sumpah Diraja bersaksikan Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri dan Dato' Pengelola Diraja serta pemegang Mohor Diraja Utama Negara. Sudah tersaksi sekalian alam atas pemasyhuran Duli Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Yang Maha Mulia dengan gelaran utama negara iaitu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16. Maka, sekalian rakyat jelata terungkap gembira dihati, menantikan Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 pada pertengahan 2019 masihi.
Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Adapun patik menjunjung titah merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pemasyhuran tapak cerpu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Moga Duli Baginda Yang Dipertuan Yang Maha Mulia dapatlah memerintah negara dengan adil serta muafakat diatas segala menteri dan insaf kasih diatas segala rakyat isi negara Tanah Semenanjung.

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

DIRGAHAYU TUANKU
DAULAT TUANKU

Selasa, 1 Januari 2019

2019 Kini Beraksi!

Assalamualaikum dan Salam Syawal 1440. Alhamdulillah, setelah sekian lama tak mengepost apa-apa pengembaraan aku. Kini, insya-allah, akan sambung beberapa catatan ekskavasi aku secara solo mahupun berkumpulan.