Rabu, 19 Jun 2019

Kota Seputih : Jamung Yang Terpadam

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di bulan Syawal ini, aku nak sambung semula penceritaan tentang negeri Kedah Darul Aman pada abad ke-13 hingga abad ke-16. Pada artikel lepas iaitu, “BATU NISAN : SATU PERBANDINGAN" telah pun diceritakan tentang 5 sultan yang pernah memerintah disekitar kawasan Kota Kuala Muda. Namun, selepas kemangkatan Sultan Kedah Ke-5, pusat pemerintahan Kedah mula berpindah ke utara negeri yakni; Kota Seputih. Kota ini dibina oleh Tengku Ahmad Raja Muda Ibni Sultan Mudzil Shah pada tahun 1282 atas titah Sutan Mahmud Shah l. Kini, bekas Kota Seputih berada berhampiran dengan Pekan Padang Sera, dalam mukim Pering, daerah Kubang Pasu.

Pemerintah pertama Kota Seputih adalah Almarhum Sultan Ibrahim Shah, Sultan Kedah Ke-6 selama 52 tahun manakala pentadbiran Kota Sungai Emas diberikan kepada Paduka Ayahanda Tengku Ahmad Raja Muda. Kota Bukit Meriam pula diserahkan kepada Dato Tan Derma Dewa untuk menjaganya selepas mendapat titah daripada Paduka Ayahanda Tengku Ahmad dan juga mengatur penjagaan sehingga ke Sungai Kerian serta pulau-pulau berdekatan. Dibawah adalah senarai pemerintah yang pernah bersemayam di Istana Kota Seputih. Antaranya ialah:-
1) Sultan Ibrahim Shah [ 721 H / 1321 M ]
2) Sultan Sulaiman Shah l [ 775 H / 1373 M ]
3) Sultan Atha’allah Muhammad Shah l [ 826 H / 1423 M ]
4) Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah l [ 877 H / 1473 M ]
5) Sultan Mahmud Shah ll [ 912 H / 1506 M ]
6) Sultan Mudzaffar Shah ll [ 953 H / 1547 M ]
7) Sultan Sulaiman Shah ll [ 1011 H / 1602 M ]

Waktu pemerintahan Sultan Atha’allah Muhammad Shah l, baginda telah menitahkan pada menteri-menteri agar korek suatu sungai bermula daripada Sungai Jerlun sampai ke Alor Janggus lalu terus korek hingga ke Kubang Rotan dan akhirnya berhubung dengan Sungai Mati. Kuala Sungai Mati pula tembus ke sungai besar Kuala Kedah. Baginda berbuat demikian untuk sekalian rakyat buka tanah perbuat bendang. Pabila siap sungai tersebut, selang lima enam tahun dikorek pula sungai daripada Gunung Keriang sampai ke Sungai Besar Cegar, Anak Bukit atas tujuan yang sama sebelum ini. Ketika ini, banyak kawasan yang telah diairi untuk penanaman padi bermula di sekitar Lembah Bujang dan Kota Kuala Muda dan makin meluas hingga ke Kota Seputih. Kalau dikira balik usia pembuatan sungai-sungai ini sudah menjangkau 596 tahun!

Kedah makin menyerlah ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah ll apabila pelabuhannya menjadi pusat utama perjalanan laut dari Teluk Parsi ke China dan dari India ke selatan melalui Selat Melaka. Maka, baginda menitahkan untuk memperkenalkan sistem sukatan dan sistem matawang yang akan digunakan secara meluas dalam Negeri Kedah. Antaranya ialah kepul, kal, cupak dan gantang. Ada pula pengiraan sukatan yang berbeza antara satu sama lain misalnya:-
• 3 genggam telentang = 1 kepul
• 2 kepul ( 6 genggam ) = 1 kal
• 4 kepul ( 12 genggam ) = 1 cupak
• 4 cupak ( 48 genggam ) = 1 gantang

Untuk sukatan kepul, kal dan cupak diperbuat dengan tempurung nyiur manakala gantang pula diperbuat dengan kayu yang ditebuk seumpama galuh gendang. Ditepi sukatan tersebut dicap dengan timah yang bertulis ‘Negeri Kedah Darul Aman’. Untuk sistem matawang diperkenalkan tera yang diperbuat dengan timah. Sifatnya bulat dan nipis seumpama buah mentalun yang berlubang ditengah dengan tertulis kelilingnya ‘Negeri Kedah Darul Aman’. Berikut penjelasan kiraan matawang dibawah:-
• 12 tera = 1 pitis
• 150 tera = 12½ pitis = 1 kupang ( emas )
• 600 tera = 4 kupang = 1 jampal ( emas )
• 1200 tera = 2 jampal = 1 riyal ( perak )

Untuk pengetahuan, tera ialah matawang timah , khususnya di Kedah. Kupang dan jampal ialah matawang emas. Satu jampal disebut juga satu emas, mengandungi emas sebanyak 2.4 gram. Riyal ialah matawang perak yang besar mengandungi perak sebanyak kira-kira 27 gram. Dahulu, pernah ditemui dua jenis matawang timah iaitu berukuran besar dan kecil. Dipercayai yang besar ialah pitis manakala yang kecil ialah tera. Kiranya, zaman tersebut di pasar-pasar kampung sudah menggunakan tera ini sebagai pitis perbelanjaan harian mereka. Rasa-rasa selepas artikel ini keluar ramai pula yang akan mencari matawang ini disekitar Kubang Pasu, habuan duit raya. Sebenarnya, ada beberapa maklumat lain tentang penggunaan matawang ini namun menurut manuskrip At Tarikh Al Salasilah Negeri Kedah mengatakan ianya diperkenalkan pada zaman Sultan Mansur Shah ll.

Walau bagaimanapun, berkemungkinan sistem ini sudah diperkenalkan sebelum zaman itu lagi. Dalam beberapa manuskrip bertarikh 1516 Masihi, Barbosa; seorang pedagang Portugis yang terkenal, menggambarkan Kedah sebagai “kawasan di bawah taklukan Siam”, mengatakan pelabuhan ini terdapat bilangan kapal yang berlabuh tidak terhingga banyaknya, berdagang dengan pelbagai barangan. Banyak bilangan kapal orang-orang Moor dari semua pelusuk datang ke sini. Penanaman lada hitam yang terbaik dan terhalus di Kedah telah di angkut ke Melaka sebelum di eksport ke China. Reputasinya sebagai pelabuhan lada hitam telah mengilhamkan seorang penjajah Portugis terkenal iaitu, Vaz De Camoens ( 1524 - 1579 ) menyebut dalam sajak terkenalnya Lusiad, diterbitkan pada tahun 1571 yang meraikan kemunculan orang Portugis di India Timur dalam barisnya,

“Behold Tawai City whence begin Siam’s dominions, reign of great extent; Tenasseri; Quedah of Town the Queen, that bear the burthen of the hot piment.”

Terjemahannya:
“Lihatlah kemunculan Bandar Tawai, bawah penaklukan Siam pemerintahnya yang meluas; Tenasseri; sebuah Bandar kedah Permaisuri, yang melahirkan bebanan rempah ratus yang pedas.”

Sultan Mudzaffar Shah ll naik takhta pada tahun 1547, memerintah Kota Seputih selama 55 tahun. Ketika itu, baginda teringat hendak perbuat suatu kota. Maka, berangkatlah Duli Baginda dengan para menteri mencari tempat tuk diperbuat istana. Akhirnya, baginda berkenan tuk perbuatkan istana dan kota di Naga(atau dipanggil Kota Naga). Kini kawasan tersebut adalah Kampung Naga, Daerah Kubang Pasu. Dato’ Maharaja Lela menjunjung titah Duli Baginda lalu menghimpunkan sekalian rakyat perbuat kota dan Balai Penghadapan di dalamnya dan diperbuatkan satu padang yang luas dihadapan kota. Selepas itu, dikorek pula sungai daripada Sungai Besar Alor Ganu ( mungkin sungai besar Padang Terap yang melalui kawasan Kampung Alor Ganu ) terus pergi berhampiran dengan Kota Naga , langsung tembus ke Bukit Tinggi.

Kota Seputih bertahan sebagai kota pemerintahan Kedah Darul Aman kira-kira 343 tahun lamanya sebelum berpindah ke Kota Naga. Bermakna, kawasan daerah Kubang Pasu telah diteroka kira-kira pada abad ke-12 dan mungkin lebih lama lagi daripada angka tersebut. Namun, makam enam sultan yang memerintah Kota Seputih sehingga sekarang masih tak dijumpai, sepertinya ghaib ditelan bumi. Sultan Sulaiman Shah ll akan aku cerita di lain artikel sebab banyak fakta nak kena teliti balik. Kalau masuk dalam artikel ini takut tak terbaca nanti. Jadi , sekian sahaja buat kali ini.

Nota:- Artikel ini paling lama aku karang sebab banyak kali tertangguh dan ada beberapa info baru yang aku dapat serta sempat selitkan dalam artikel ini. Banyak pengkaji cuba mencari makam di sekitar daerah Kubang Pasu namun hampa akibat pembangunan dan juga kawasan kuari yang telah benamkan beberapa artifak Negeri Kedah. Nak buat macam mana, orang kita terlampau rakus pada tanah yang akhirnya memakan diri sendiri. Tetapi, makam Puteri Lindungan Bulan menjadi petunjuk utama aku tentang Kompleks Makam Diraja Langgar Kota Seputih. Apapun, ambil lah ikhtibar daripada cerita dan lembaran sejarah yang lalu. Bukan setakat untuk dikenang malah dijadikan pedoman dan pengajaran. Sekarang ini pun Kota Seputih sepertinya hilang disebalik sejarah purba daerah Kubang Pasu. Harap-harap artikel ini sedikit sebanyak membuka minda tentang kawasan tersebut.
#kotaseputih #kedahdarulaman

Selasa, 11 Jun 2019

Taj Mahal Diraja Kedah

Sempena bulan Syawal yang penuh kemeriahan ini, malam ini rasa nak ceritakan satu istana lama di tengah-tengah Bandaraya Alor Setar iaitu Istana Che Sepachendera @ Istana Kampung Bharu. Istimewanya, istana ini sebenarnya adalah bukti lambang cinta dan kasih seorang Kerabat Diraja Kedah dengan wanita daripada Kerabat Siam dan akhirnya menjadi suami isteri yang bahagia. Siapakah pasangan itu? Tak lain tak bukan ialah Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah dan isteri baginda, Che Sepachendera.

Istana ini dibina pada April 1882 selepas baginda naik takhta sebagai Sultan Kedah ke-26 tahun 1881 dan menjadi istana pertama Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, berikutan sebelum ini baginda bersemayam di Istana Anak Bukit. Sekaligus, menjadi kediaman peribadi baginda dan isteri serta anakanda nya selain Istana Kota Setar ( Ketika itu masih berfungsi sebagai kediaman rasmi istana Kedah tambahan pula Paduka Bonda Che Wan Tempawan masih menetap di istana tersebut).

Gabungan senibina Siam dan Melayu membuatkan istana ini nampak megah di tengah-tengah pekan ketika itu. Che Sepachendera mempunyai putera puteri yang diputerakan di istana terbabit, termasuklah Tunku Ibrahim (Tunku Sulung), Tunku Rokiah, Tunku Zamzam dan Tunku Kasim (Tunku Laksamana). Disinilah memori tercipta dalam kasih sayang antara dua insan ini, walaupun baginda harus mengutamakan pentadbiran Negeri Kedah serta kebajikan rakyat jelatanya. Namun, baginda tidak dapat menolak takdir Illahi apabila Che Sepachendera mangkat pada 10 Februari 1907 dan telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar.

Selepas kemangkatan Che Sepanchendera, istana ini masih terus didiami dan diwariskan kepada anakandanya yang masih bujang. Pada tahun 1922, di atas kesedaran dan prihatinnya Tunku Ibrahim ketika itu betapa pentingnya institusi pendidikan, sebuah Sekolah Inggeris Perempuan telah diwujudkan di situ dengan nama Sekolah Perempuan Kampung Baharu (Kampung Baharu Girl’s School). Menurut Tunku Mansor Tunku Kasim, yang juga cucunda kepada Sultan Abdul Hamid, pada peringkat permulaan, istana terbabit menjadi keutamaan buat golongan kerabat diraja mendapat pendidikan awal mereka.

Di sinilah anak raja dan pembesar-pembesar diajar tentang pendidikan, ilmu menenun dan sebagainya. Bermula dengan pelajar seramai 30 orang dan meningkat menjadi 45 orang pelajar pada tahun 1933. Pendidikan di sekolah ini berterusan sehinggalah tahun 1954. Apabila Sekolah Menengah Sultanah Asma diasaskan di Jalan Langgar pendidikan Kampung Baharu Girls’s School ini telah berpindah ke sana pula. Pada tahun-tahun berikutnya, istana ini bermula mengalami beberapa perubahan demi perubahan sama ada di dalam mahupun di luar apabila fungsinya mula bertukar menjadi institusi pendidikan dengan Kampung Baharu Girl’s School.

Namun begitu pada tahun-tahun 1942-1943, istana ini pernah dijadikan sebagai Pejabat Penyelamat Kebakaran (BOMBA) dan Sekolah Bahasa Jepun. Rentetannya, istana ini juga pernah dijadikan Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim dan cawangan Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Audit. Pada tahun 2000, bangunan tersebut telah berubah fungsinya sama sekali dengan menjadi kediaman Al Khwarizmy bagi pelajar-pelajar lelaki dari Kolej Universiti Insaniah, Kedah (KUIN) dan kemudiannya terbiar kosong sehingga sekarang.

Semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu (1941-1943), istana ini pernah dijadikan markas tentera Jepun. Ketika itu, baginda berada di Kulim sebagai tempat perlindungan hasil 'penculikan' oleh anakanda nya iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Selepas itu, Jepun menghantar rombongan untuk mengiringi baginda kembali ke Alor Setar. Namun, pihak Jepun tidak membenarkan baginda bersemayam di istana tersebut lalu Pemangku Raja membawa baginda tinggal di Istana Anak Bukit.

Sebenarnya, baginda amat kecewa kerna tidak dapat menghabiskan hayatnya di istana terbabit yang mengamit memori cintanya bersama isteri baginda. Akhirnya, baginda mangkat pada tahun 1943, setelah memerintah Kedah selama 62 tahun. Persediaan untuk menyambut Jubli Intan baginda sedang berjalan tetapi apabila Jepun menyerang Kedah, segala-galanya terbantut. Secara kebetulan, tidak lama selepas askar Jepun menduduki Istana Kampung Bharu, petir menyambar tiang bendera istana lalu membelahya dari atas ke bawah dan bendera Jepun jatuh menyembah bumi.

Kini, kerosakan istana ini hampir 80% menyebabkan kos penyelenggaraan dan peruntukan yang agak tinggi bagi memulihara khazanah tersebut. Aku cuba mencari informasi lain dan tak silap pada tahun 2014 istana ini dalam pewartaan sebagai Muzium Diraja Sultan Abdul Hamid namun sampai sekarang tiada apa-apa tindakan diambil. Maka, aku minta sesangat perbincangan istana ini perlu diberi penekanan oleh pihak istana serta kerabat diraja dan juga pihak lembaga muzium agar kata sepakat diperolehi dengan cepat sebelum ianya mejadi longgokan runtuhan yang tiada nilai. Sekian.

Nota:- Banyak orang keliru pasal Istana kuning dengan Istana Che Sepachendera sebab kedudukan nya cuma bersebelahan saja. Raya baru ini, sempat juga singgah sekejap tapi dah letak rantai besi depan pintu pagar. Mungkin nak mengelakkan daripada penceroboh. Namun, begitulah kisah cinta Diraja Kedah sampai akhir hayat mereka. Aku letak perbandingan gambar yang diambil pada 2016 dan 2019, pepandailah korang nilai sendiri bagaimana keadaan istana tuh. Al-Fatihah buat almarhum serta isteri baginda.