Stesen Keretapi Pinang Tunggal
Jambatan Keretapi Lama Pinang Tunggal
Hari yang cukup tenang tuk aku menulis semula artikel ini. Kali ini
nak menceritakan sikit tentang pengangkutan keretapi di Kedah dan ada beberapa
rentetan catatan semasa Perang Dunia Ke-2. Untuk pengetahuan, Stesyen Keretapi
Alor Setar telah dibina dan di buka pada Oktober tahun 1915. Setahun sebelum
itu, landasan keretapi dari persimpangan Bukit Mertajam ke Pinang Tunggal di
Sungai Muda iaitu sempadan antara Kedah dengan Seberang Perai dibuka. Lima
bulan kemudian, landasan kereta api ini dipanjangkan dari Pinang Tunggal ke
Gurun sekaligus meningkatkan pertumbuhan Sungai Petani dan Bedong. Ketika itu,
kawasan terbabit dikenali dengan nama lama iaitu “Pengkalan Ayam” yakni
pengkalan untuk hasil ternakan ayam yang dipunggah masuk ke perahu untuk
dieksport ke Pulau Pinang. Banyak ternakan ini diternak di kampung sekitar
kawasan tersebut.
Stesen Keretapi Alor Setar
Stesen Keretapi Sungai Petani
Sebaik sahaja landasan keretapi sampai ke Bedong, pihak kerajaan
Kedah menjual 45 lot tanah bersebelahan dengan landasan tersebut pada harga
yang memeranjatkan iaitu $25 setiap relung, dengan syarat bahawa setiap rumah
harus didirikan di atas lot tersebut dalam tempoh 12 bulan selepas dijual. Pada
masa itu, Tunku Muhammad Abaidah yang tinggal di Kulim ( ayahandanya, Tunku
Muhammad Saad dikenali dengan gelaran “Raja Kulim” ) menjadi Penolong Pengarah
Tanah di Kedah Selatan. Dari segi bidang kuasa rasmi, beliau bertanggungjawab
terhadap pentadbiran tanah sehingga menjangkau jauh ke utara seperti Gurun.
Pejabat Tanah Kedah Tengah belum lagi wujud.
Stesen Keretapi Gurun
Stesen Keretapi Bedong
Stesen Keretapi Tokai
Setelah landasan keretapi ke Alor Setar siap, berlaku sedikit
kelewatan pembinaan sebelum landasan ini diteruskan pembinaan hingga ke Bukit
Ketri di Perlis. Berhampiran dengan tempat tersebut, terjumpa satu medalion
tanah liat yang tertera imej Buddha dan tertulis dengan huruf Siam pada
beberapa tahun sebelumnya.
Pada tahun 1918, landasan keretapi ini akhirnya bersambung dengan
Landasan Keretapi Diraja Siam di Padang Besar. Lantaran itu, wujudlah laluan
keretapi dari Singapura ke Bangkok. Sehingga waktu itu, satu jalan untuk sampai
ke Bangkok dari pantai timur Semenanjung Tanah Melayu ialah melalui jalan gajah
dari Alor Setar menerusi Changloon dan Sadao ke Singgora, yang lebih kurang
sama dengan jalan yang diambil oleh para pengembara dari Hatyai pada hari ini.
Peta Landasan Dan Taburan Stesen Kereta Api Di Kedah-Perlis
Kereta Api Lokomotif Bergerabak dan dikenali sebagai
"Keretapi Ekspress Rakyat"
Sewaktu Perang Dunia Ke-2, tentera British dalam keadaan terbelenggu
oleh arahan, tidak sesekali dibenarkan menyeberangi perbatasan sehingga pihak
Jepun melancarkan serangannya yang pertama. Mereka juga kehilangan inisiatif
apabila pasukan tentera Jepun sudah mara ke pantai Singgora pada awal pagi 8
Disember 1941. Sementara itu, sebuah keretapi berperisai yang dipandu oleh
mendiang Sarjan Eddie Augustin daripada “Railway Operation Maintainance Company”
( ROMC ), “Federated Malay States Volunteer Force” ( FMSVF ) sudah mara sejauh
10 batu masuk ke wilayah Siam dan meletupkan jambatan Hatyai – Padang Besar dan
kemudian berundur ke Padang Besar.
Satu catatan diari yang disimpan oleh Sarjan Augustin, telah
memberikan kisah secara langsung tentang pertempuran yang berlaku di sekitar
Keretapi Kedah dalam Perang Tanah Melayu ( Battle Of Malaya ) pada hari
permulaan peperangan tahun 1941:-
Jumaat, 5 Disember :
Unit kami ( terdiri
daripada kakitangan berbangsa Cina, Eurasian, India dan Melayu daripada F.M.S
Railways di bawah pimpinan Kapten H.P. Yates, dan dia sendiri juga salah
seorang pekerja keretapi ) diarahkan bergerak dari Dewan Latihan Tentera
Sukarela Kedah di Alor Setar ke Asrama Kolej Sultan Abdul Hamid yang terletak
berhampiran.
Sabtu, 6 Disember – Jam 1700 :
O.C., Kapten Yates
mengarahkan aku ke bangsal lokomotif untuk menyediakan kepala keretapi (
lokomotif ) berperisai. Selepas menghidpkan stim , pembantu keretapi yang
pertama, Sapir Donald U’Ren ( sekarang Penasihat kepada “Asian Transport
Workers” di pelbagai bahagian di Asia yang berkaitan dengan “Trade Union
Administration, Finance and Negotiations” ),pembanti pemandu keretapi yang
kedua, Sapir Megat Zakariah dan aku sendiri mengangkut peluru dan makanan
selama dua hari.
Jam 2200 :
Diarahkan ke Bukit Ketri
dan menantikan isyarat ke sana untuk mengambil pasukan tentera dan meneruskan
perjalanan ke Padang Besar. Dua buah keretapi yang mengangkut tentera mengekori
di belakang dalam jarak 400 ela.
Jam 2400 :
Tiba di Arau.
Ahad, 7 Disember – Jam 0200 :
Dua buah keretapi yang
mengekori belakang sampai. Semua semangat. Sebagai NCO ( pegawai yang tidak
bertauliah ) kanan, aku memastikan mereka tidak berbuat nakal.
Isnin, 8 Disember – Jam 0800 :
Terdengar satu letupan
yang kuat berhampiran dan ternampak banyak pesawat udara. Ambil tindakan. Tidak
pasti beberapa jauh lagi kami harus pergi dan berasa ragu-ragu tentang sama ada
arang batu mencukupi atau tidak, aku menelefon Kodiang untuk mendapat bekalan
lebih. Pada jam 1000, sebuah keretapi rosak tiba membawanya.
Jam 1600 :
Terima arahan untuk
pergi ke Bukit Ketri dan di sana, kami mengambil beberapa orang askar Punjabi
di bawah pimpinan Kapten Burns. Detasmen ini melibatkan sapir dan pelombong.
Jam 1700 :
Mara dengan berhati-hati
ke wilayah Thai. Sampai di jambatan Hatyai – Padang Besar yang besar itu, sapir
tadi bersedia meletupkannya. Diarahkan mengundurkan keretapi sejauh sebatu.
Sementara menanti letupan tersebut, terdengar konvoi musuh berderam-derum di
atas jalan setengah batu dari situ.
Pemusnahan jambatan itu selesai, kami bergegas kembali ke Kodiang.
Selasa, 9 Disember – Jam 0530 :
Tiba di Kodiang. Berehat
di sana untuk sejam dua dan kemudian kembali ke Bukit Ketri dan di sana kami
berjaga-jaga siang malam.
Rabu, 10 Disember – Jam 0600 :
Undur sedikit kerana
artileri musuh membidik meriam mereka.
Jam 1800 :
Diarahkan berundur. Di
Kodiang, terjumpa dua tong minyak enjin dan minyak silinder. Mengisi kotak kami
hingga penuh dan kemudian menuang semua baki minyak yang tinggal ke tanah
supaya musuh tidak dapat. Sehingga diarah berundur pada jam 2300, menjalankan
rondaan di landasan antara Kodiang dengan Arau.
Jumaat, 12 Disember – Jam 1300 :
Beberapa orang daripada
East Surreys muncul dari hutan sebelah kanan kami. Kami agak terperanjat
apabila melihat seorang rakan di kalangan mereka membawa mesingan ringan. Untuk
merayakan pertemuan semula, kami berkongsi sebotol jus limau.
Ketika kami
berbual-bual, kami ternampak suatu pergerakan yang diragui di sawah padi
bersebelahan. Berjalan sejauh sebatu sehingga seorang askar berbangsa India
datang memberitahu kami bahawa pihak musuh cuba mengepung kami. Hantar maklumat
tersebut ke ibu pejabat, beri amaran kepada semua pasukan yang berdekatan, dan
menantikan arahan. Dalam tempoh beberapa minit, datang arahan untuk berundur.
Sebuah keretapi dengan gerabak sampai di tempat kejadian. Mengambil pasukan
tentera dan membawa mereka kembali ke Anak Bukit. Lima minit kemudian, pihak
Jepun buat serangan.
Sabtu, 13 Disember – Jam 0800 :
Mengambil air di Alor
Setar selepas membuat rondaan di seksyen Alor Setar – Anak Bukit sepanjang
malam. Diarahkan berundur. Semasa kami hendak bertolak, suatu letupan dahsyat
menggegarkan kawasan sekeliling – sapir telah meletupkan jambatan keretapi Alor
Setar.
Jambatan Keretapi Lama Alor Setar
Namun begitu, sebahagian
sahaja daripada jambatan tersebut yang berjaya dimusnahkan. Landasannya masih
berada di galang. Arahan diterima untuk membiarkan kepala keretapi diluncurkan
di atas jambatan dan dibiarkan jatuh terbenam ke dalam sungai.
Baru sahaja hendak aku
melakukannya, Kapten Burns datang dan meminta aku menunjukkannya bagaimana
mengendalikan pengumpil. Aku secara sukarela menawarkan diri melakukannya
sendiri tetapi dia mengarahkan aku turun daripada kepala keretapi itu kerana
kakiku kembang dek air dan dalam keadaan teruk.
Maka, aku beserta
pemandu keretapi memunggah barang kepunyaan kami dan melihat kepala keretapi
itu meluncur pergi. Kami hairan apabila melihat ia melincat naik ke atas
landasan yang terputus itu, membetulkan kedudukannya dan terus meluncur. Kami
lantas mengekorinya. Ketika kami berbuat demikian, tembakan kedengaran di
belakang kami.
Untuk memintas kepala
keretapi itu, aku cuba menumpang naik sebuah trak yang lalu tetapi tiada tempat
untuk aku. Namun begitu, 1.5 batu jauh ke hadapan, pasukan Artileri Diraja membawa
aku sejauh satu batu sehinggalah mereka menerima arahan supaya berpatah balik.
Dalam kesakitan yang amat sangat, aku menapak sejauh 12 batu sebelum sebuah
trak mengambilku. Memandangkan aku tidak tidur selama lima hari, aku terlena
dan terjaga apabila kami tiba di Sungai Petani.
Pergi stesyen keretapi
untuk melaporkan diri kepada O.C. dan memberitahu bahawa Sapir U’Ren sedang
membawa balik kepala keretapi itu yang disambungkan kepada Keretapi Palang
Merah. Aku diarahkan untuk mengambil alih keretapi tersebut. Aku melakukannya
dan memandunya ke Bukit Mertajam dan di sana kakitangan bantuan mengambil alih
tugas tesebut.
Stesen Keretapi Bukit Mertajam
Demikian itulah sebahagian daripada cebisan diari oleh Sarjan
Agustin. Pihak tentera Jepun ketika itu tetap membaikpulih beberapa jambatan
yang telah runtuh untuk mara ke selatan seterusnya menakluk Semenanjung Tanah
Melayu. Ketika itu juga, tentera Jepun telah berjaya mengambil alih separuh
kawasan negeri Kelantan dan akan terus menakluk negeri-negeri lain. Penjajahan
Jepun tidaklah terlalu lama setelah Hiroshima dan Nagasaki di bom, dengan
serta-merta mereka menyerah kalah.
Pada 2008, satu projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh – Padang
Besar ( PLBE ) telah dijalankan selama lima tahun. Projek ini juga adalah
sebahagian daripada pelan induk untuk memajukan sistem pengangkutan awam di
Malaysia dibawah Unit Perancang Ekonomi ( EPU ) di Jabatan Perdana Menteri.
Pembangunan landasan keretapi berkembar ini melibatkan negeri di Utara
Semenanjung seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Pembinaan
infrastruktur landasan keretapi ini telah bermula di Ipoh sehingga ke Padang
Besar. Namun, disebabkan ada beberapa jambatan lama yang tidak dapat diubahsuai
maka pihak terbabit telah mengubah laluan landasan tersebut tambah pula
mengambil faktor lurusnya landasan dan mengurangkan liku-liku pada rel
keretapi. Pihak kerajaan juga ingin menjaga nilai estetika dan sejarah yang
terdapat di jambatan lama agar dapat menjadi satu bukti artifak lampau yang
maju bergerak mengikut peredaran zaman.
Tidak jauh dari Jambatan Lama Keretapi Pinang Tunggal adalah
laluan baru bagi landasan berkembar.
Tambahan lagi, ada beberapa laluan lama yang terdedah kepada risiko
banjir kilat. Oleh itu, langkah segera diambil dalam menyusun laluan baru serta
membina semula stesyen keretapi milik KTMB di Alor Setar, Anak Bukit, Gurun,
Ko’bah, Tunjang, Bidong dan Sungai Petani. Kini, pengangkutan tersebut telah
menjadi satu kemudahan bagi masyarakat di Utara Semenanjung dengan perkhidmatan
Komuter dan ETS.
Setakat itu sajalah coretan artikel buat kali ini tentang
pengangkutan keretapi di Kedah. Cuma aku berharap jambatan lama yang berada
dalam Kedah dibaikpulih dan diangkat sebagai satu pusat pelancongan sepertimana
Jambatan Victoria di Kuala Kangsar, menjadi tumpuan pelancong dan masyarakat di
Perak. Sekian.
Nota:- Bila tengok balik memang terserlah pemandangan ‘vintage’ di Jambatan Lama Pinang Tunggal. Biarpun beratus tahun, masih utuh menyangga ditengah-tengah Sungai Muda. Baru teringat, Bahagian Unit Pelancongan Dan Warisan Seberang Perai MPSP ada meletakkan jambatan ini untuk dilawati.
Apapun, kita sebagai masyarakat perlu bertanggungjawab untuk komersialkan tempat-tempat sebegini agar ianya tidak dilupa ataupun luput ditelan zaman. Tambah pula bagi golongan orang lama, mungkin jambatan ini mengamit kenangan dan nostalgia bersama. Itulah memori yang akan diceritakan kepada generasi masa hadapan.
#pinangtunggal #kedah #penang #keretapi #nostalgia