Khamis, 31 Januari 2019

Hikayat Negara Tanah Semenanjung

Adapun dua tahun lebih memerintah dalam syiar Islamiah dan daulah Tanah Jawi, maka dengan takdir Allah bersaksikan seluruh rakyat jelata pada dua puluh sembilan haribulan Rabiulakhir, Hijrah seribu empat ratus empat puluh; Sultan Muhammad Kelima memulangkan semula tampuk Raja Diraja kepada daulat Tanah Semenanjung atas rahsia sulit yang tidak diketahui lalu berangkatlah Duli Baginda Yang Dipertuan Yang Maha Mulia pulang ke tanah timur Kerajaan Cermin.
Hatta, hiruk-pikuk segala rakyat marhaen di segenap pelusuk Tanah Semenanjung melihat Singgahsana Diraja Utama Negara sunyi sepi tanpa jasad yang berganti. Maka, berbisik dan berpesan-pesan antara Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri bersama Dato Maharaja Lela, Dato Pengelola Diraja, dan Pemegang Mohor Utama Negara Tanah Semenanjung untuk berhimpun dan bermusyawarah bagi memilih siapakah gerangan yang akan mengisi kesunyian Singgahsana Diraja Utama Negara.
Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Adapun Tengku Mahkota Tengku Abdullah masih dalam kusut pikiran memikirkan tentang ayahandanya yang sudah gering terlalu lama. Hatta, berpesanlah Tengku Mahkota Tengku Abdullah pada Tengku Muda, Tengku Arif Temenggong, Tengku Arif Bendahara, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Besar, Tengku Seri Nila Utama dan Tengku Panglima Besar. Tidak dilupakan kepada Menteri Ke-Empat Orang Kaya Indera dan Menteri Delapan Dato' Setia untuk turut serta memberi buah fikiran kepada gantian takhta Diraja Pahang.
Maka, dengan Rahmat Allah Azzawajalla, pada malam Sabtu, dua belas haribulan Jamadilawal, Hijrah seribu empat ratus empat puluh ; Duli Baginda Sultan Haji Ahmad Shah telah memberi limpah perkenan restu kepada anakandanya, Tengku Mahkota Tengku Abdullah sebagai Bakal Sultan yang akan ditabalkan di singgahsana Diraja Pahang.
Syahdan, bersibuklah para dayang dan hulubalang dalam riuh rendah disegenap penjuru istana membuat persiapan pertabalan sultan yang baharu di Balairung Seri. Maka, tercatatlah satu ceritera diraja pada Dhuha Selasa, enam belas haribulan Jamadilawal, Hijrah yang sama; naiklah Tengku Mahkota Tengku Abdullah di singgahsana diraja memegang takhta dengan gelaran penuh takzimnya; Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Al-Musta'in Billah Shah, Sultan Pahang Ke-6.
Maka, pada lapan belas haribulan Jamadilawal, Hijrah yang sama; Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri berangkat mencemar duli ke Istana Negara Tanah Semenanjung untuk menetapkan bakal sultan yang akan memegang tampuk Diraja Utama Negara selama lima penggal. Undian demi undian telah dilaksanakan dengan penuh sulit mengikut adat istiadat diraja. Hatta, yakinlah bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri dengan sebulat muafakat menyerahkan tapak cerpu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kepada Duli Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Pahang Darul Makmur yang akan bersemayam di Singgahsana Diraja Utama Negara.
Masa yang ditetapkan telah tiba. Hatta, pada dua puluh lima haribulan Jamadilawal, Hijrah seribu empat ratus empat puluh; berangkatlah Duli Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Yang Maha Mulia dalam keadaan manis senyumannya bersama isteri tercinta dari tanah tua Kuantan ke Istana Negara dengan gah sayap Garuda berurat kursani membelah awan diangkasa raya lalu turunlah ia di Kota Utama Tanah Semenanjung. Bersambutlah Raja Muda atas wakil kerabat di Tanah Jajahan Selangor. Lalu, dibawa ke istana dengan iringan pancaragam dan tabik hormat para pegawai serta Angkatan Tentera Diraja bersama panji-panji Duli Baginda Yang Maha Mulia.
Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Dengan zahir Allah Subhanahu Wata'ala, pada terbit Dhuha diufuk timur, maka bersabdalah Duli Baginda Yang Maha Mulia atas Ikrar Sumpah Diraja bersaksikan Duli-Duli Yang Maha Mulia pemerintah negeri dan Dato' Pengelola Diraja serta pemegang Mohor Diraja Utama Negara. Sudah tersaksi sekalian alam atas pemasyhuran Duli Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Yang Maha Mulia dengan gelaran utama negara iaitu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16. Maka, sekalian rakyat jelata terungkap gembira dihati, menantikan Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 pada pertengahan 2019 masihi.
Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Adapun patik menjunjung titah merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pemasyhuran tapak cerpu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Moga Duli Baginda Yang Dipertuan Yang Maha Mulia dapatlah memerintah negara dengan adil serta muafakat diatas segala menteri dan insaf kasih diatas segala rakyat isi negara Tanah Semenanjung.

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

DIRGAHAYU TUANKU
DAULAT TUANKU

Selasa, 1 Januari 2019

2019 Kini Beraksi!

Assalamualaikum dan Salam Syawal 1440. Alhamdulillah, setelah sekian lama tak mengepost apa-apa pengembaraan aku. Kini, insya-allah, akan sambung beberapa catatan ekskavasi aku secara solo mahupun berkumpulan.

Rabu, 22 Mac 2017

LEMBARAN 2017

Setelah sekian lama blog ini termakam dengan sendiri tanpa aku sentuh.Kini, aku cuba coretkan lagi kisah pengembaraan aku dalam meniti lembaran hikayat dan riwayat di setiap negeri yang akan ku lalui nanti.Insya-Allah, doakan aku tetap menghidupkan pad kekunci ini agar terus berbakti menabur informasi yang berguna untuk masa hadapan.Amin..

Jumaat, 27 November 2015

KUALA LUMPUR: PERMULAAN LANGKAH PERTAMA PART 1

     Pada 25 Haribulan November 2015, diri ini berkesempatan untuk menjejakkan kaki di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Seronok tak terhingga bila pengembaraan nostalgia kali ini adalah pengembaraan solo aku yang pertama.Jangan memandang rendah pada jiwa si anak watan ini kerna masih lagi bergelojak darah keturunan sang wira-wira negara.

     Kaki aku mengorak langkah di pagi hari, waku yang afdal untuk memulakan pengambaraan aku.Dari Stesyen KTM KLANG, aku berhenti di Stesyen KUALA LUMPUR.


     Ya, aku merasakan diri ini berada di zaman penjajahan Malayan Union.Jantungku dapat merasakan deruan keretapi-keretapi lama seperti lokomotif, stim, arang batu, kayu dan wap suatu ketika dahulu.Masakan tidak, melihat strukturnya yang masih utuh walaupun sudah dimamah usia tetap lagi menjadi satu tarikan pelancong.Biarpun keretapi bersilih ganti, landasannya tetap mengukir sejarah yang agak panjang mengikut peredaran zaman.Melangkah keluar dari stesyen, bangunan KTMB yang tersergam indah dengan hasil seni bina dari Mongul dan Eropah beridentitikan menara berpilin serta kubah bertingkat menjadi tatapan mata buat seketika.

    Inilah tempatnya! Tetiba, telinga aku terngiang-ngiang laungan demi laungan untuk menyelamatkan Tanah Melayu ini dahulu daripada jatuh ke tangan British.Mendesak para sultan untuk memulau majlis pengisytiharan Malayan Union ketika itu.Aku dengar dan dengar, dengan teliti.Subhanallah, nostalgia ini susah hendak ku temui.Aku berjalan lagi ke Masjid Negara untuk solat Zohor.Sesampai sahaja aku, kaki ini berjalan mencari suatu tempat.

         Aku menemuinya! Inilah impian aku selama ini.Menjejaki makam perjuang negara yang bertungkus lumus ingin membebaskan tanah ini dari cengkaman penjajah.Di Kompleks Makam Pahlawan ini menempatkan empat jasad tokoh perjuangan kemerdekaan iaitu:

                1)Allahyarham Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Pertama
                2)Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Ke-2
                3)Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia Ke-3
                4)Allahyarham Tun Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri Ke-6

                   Tiba-tiba, air mataku meleleh sendiri tanpa aku sedari.Rupanya aku masih lagi teringat kisah Allahyarham Tun Abdul Razak bersama rakan seperjuangannya, Allahyarham Tun Dr. Ismail di lakonkan kembali dalam filem "TANDA PUTERA" yang mengingatkan satu rakaman pengkebumian kedua-dua pahlawan negara ini.Pasti semuanya hairan kerana Makam Pahlawan sebenarnya dibina untuk menempatkan jasad tokoh yang memimpin negara namun mengapa Bapa Merdeka tidak dimakamkan disini?  Untuk pengetahuan semua, Allahyarham Tunku Abdul Rahman meninggal dunia pada 6 Disember 1990.Dua tahun sebelum itu, beliau menulis sepucuk wasiat tentang pengkebumiannya itu perlu dilakukan  di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.Ini kerana beliau mahu disemadikan berdekatan dengan ahli kerabat yang lain misalnya ayah dan datuk beliau.Namun, perhatikan batu nisan dan kepuk kedua-dua gambar.Ia tetap samakan?



                      "Allahuakbar....Allahuakhbar..." azan Zohor sudah masuk.Jadi tanpa melengah lagi aku bergegas ke ruang solat untuk solat berjamaah.Tunggu pengembaraan nostalgia aku.

NOSTALGIK WAKTU

Cacatan pertama megorak langkah. Di pagi subuh ku berpiano dengan laptop aku. Ntah apa yang hendak aku coretkan disini. Bloggers pertama aku sudah tak boleh dibuka lagi kerna kuncinya patah tiada pengganti. Apapun, aku coretkan serba sedikit nostalgia selama 20 tahun aku bernyawa dengan jasad yang dikurniakan dari Illahi. Alhamdulillah, syukur kepada-Mu.

Hari ini juga blogger menjadi saksi penubuhan satu page tentang nostalgia sejarah yang dilupakan oleh masyarakat Malaysia terutama sekali masyarakat Melayu tentang zaman Pra-Sejarah Melayu Lama hingga kita mencapai kemerdekaan 1957. Walaupun usia aku masih lagi dikatakan setampuk jagung namun aku memahami kronologi waktu yang berpusing bersilih ganti. Bukan mengatakan aku ini hebat menarikan jari jemari aku untuk sebuah karangan yang tidak diiktiraf tetapi sekadar tatapan minda di siang hari.

Selamat Datang ke "MENYINGKAP NOSTALGIA".