Jumaat, 29 Mac 2019

Alor Kanchut : Belukar Silam

Tergerak hati nak datang menebas serba sedikit bagi cerah mata memandang. Itupun sebab sahabat saya, Amri AO Al-Saadi datang dahulu dan postkan keadaan makam disini. Mula nak cari agak susah sebab dalam Bandar Kota Setar, semua bangunan bertingkat-tingkat. Agak tercari-cari lokasi makam ini. Rupanya, kata sahabat terletak ditepi tebing Sungai Alor Kanchut dalam Kg Pisang. Ikut sungai itu maka jumpalah makam ini dibawah rimbunan pokok dengan kemesraan semak bekukar. Maka, mulalah kerja-kerja tebasan sambil mencari nisan Aceh dibalik semak samun.

Makam ini telah ditafsir inskripsinya milik Paduka Seri Laksamana Maharaja Diraja oleh Shidi Omar Filfilan pada tahun 2018. Persekitaran makam amatlah luas kerana inilah sebahagian makam para pejuang Perang Musuh Bisik 1825 beserta makam kerabat raja. Hasil daripada percakapan seorang pakcik, di Pelabuhan Kuala Kedah ada lagi banyak namun disebabkan pembangunan maka kubur-kubur pejuang itu dihapuskan. Tinggal satu makam sahaja ditepi jalan bawah pokok iaitu Makam Tok Pasai.



Disebabkan kata pakcik itu ada satu lagi makam dalam semak seiras tinggi dengan makam laksamana Kedah, aku redah dengan senang hati dalam selawat ke atas nabi. Terjumpalah satu makam dengan ukiran batu yang cukup unik, sepersis nisan Aceh yang aku kaji. Namun inskripsinya tak sempat ku baca lagi.





Sempat juga bersembang dengan seorang lagi penduduk kampung, mengatakan ada makam 7 beradik terletak sederet ditepi sungai tapi malangnya satu kepok dah patah sebabkan jentolak lalu. Ada satu makam lagi aku tak usik bila tengok rimbunan semak mengalahkan busut anai-anai! Tak berani lah pula nak tebas risau dalam tuh takut siap 'panggung kembang' alamatnya Hospital Alor Setar lah jawabnya.

Menjelang Maghrib, singgah Masjid Zahir untuk beribadah dan rehatkan diri. Kecantikan Masjid Zahir mengingatkan kepada beberapa istana sekitar Kota Setar yang terpaksa dikorbankan untuk pembangunan dan komersial. Ok, jumpa lagi!

Nota: Dulu ada kerabat yang jaga makam ini tapi sudah meninggal dunia, sebab itulah agak bersemak. Namun, kemuliaan seorang pakcik ini yang nak membantu sehinggakan dia berhasrat jual tanah untuk ambil hasil itu nak perbaiki tanah makam ini. Seorang rakyat marhaen yang bukan dari kerabat diraja, hanya hamba Allah yang melakukan fardhu kifayah untuk manusia lain. Mengharapkan kerajaan tak memadai jikalau kita sebagai masyarakat tidak mengerah kudrat sendiri. Harap tiada yang datang cat pula, aku katok dengan parang satgi!
#laksamanakedah #Alorsetar #Perangmusuhbisik #kedahtua

Tiada ulasan:

Catat Ulasan