Ahad, 14 Julai 2019

Nostalgia Rentas Sempadan Lokomotif



Stesen Keretapi Pinang Tunggal


Jambatan Keretapi Lama Pinang Tunggal



Hari yang cukup tenang tuk aku menulis semula artikel ini. Kali ini nak menceritakan sikit tentang pengangkutan keretapi di Kedah dan ada beberapa rentetan catatan semasa Perang Dunia Ke-2. Untuk pengetahuan, Stesyen Keretapi Alor Setar telah dibina dan di buka pada Oktober tahun 1915. Setahun sebelum itu, landasan keretapi dari persimpangan Bukit Mertajam ke Pinang Tunggal di Sungai Muda iaitu sempadan antara Kedah dengan Seberang Perai dibuka. Lima bulan kemudian, landasan kereta api ini dipanjangkan dari Pinang Tunggal ke Gurun sekaligus meningkatkan pertumbuhan Sungai Petani dan Bedong. Ketika itu, kawasan terbabit dikenali dengan nama lama iaitu “Pengkalan Ayam” yakni pengkalan untuk hasil ternakan ayam yang dipunggah masuk ke perahu untuk dieksport ke Pulau Pinang. Banyak ternakan ini diternak di kampung sekitar kawasan tersebut.


Stesen Keretapi Alor Setar

Stesen Keretapi Sungai Petani


Sebaik sahaja landasan keretapi sampai ke Bedong, pihak kerajaan Kedah menjual 45 lot tanah bersebelahan dengan landasan tersebut pada harga yang memeranjatkan iaitu $25 setiap relung, dengan syarat bahawa setiap rumah harus didirikan di atas lot tersebut dalam tempoh 12 bulan selepas dijual. Pada masa itu, Tunku Muhammad Abaidah yang tinggal di Kulim ( ayahandanya, Tunku Muhammad Saad dikenali dengan gelaran “Raja Kulim” ) menjadi Penolong Pengarah Tanah di Kedah Selatan. Dari segi bidang kuasa rasmi, beliau bertanggungjawab terhadap pentadbiran tanah sehingga menjangkau jauh ke utara seperti Gurun. Pejabat Tanah Kedah Tengah belum lagi wujud.


Stesen Keretapi Gurun

Stesen Keretapi Bedong

Stesen Keretapi Tokai



Setelah landasan keretapi ke Alor Setar siap, berlaku sedikit kelewatan pembinaan sebelum landasan ini diteruskan pembinaan hingga ke Bukit Ketri di Perlis. Berhampiran dengan tempat tersebut, terjumpa satu medalion tanah liat yang tertera imej Buddha dan tertulis dengan huruf Siam pada beberapa tahun sebelumnya.

Pada tahun 1918, landasan keretapi ini akhirnya bersambung dengan Landasan Keretapi Diraja Siam di Padang Besar. Lantaran itu, wujudlah laluan keretapi dari Singapura ke Bangkok. Sehingga waktu itu, satu jalan untuk sampai ke Bangkok dari pantai timur Semenanjung Tanah Melayu ialah melalui jalan gajah dari Alor Setar menerusi Changloon dan Sadao ke Singgora, yang lebih kurang sama dengan jalan yang diambil oleh para pengembara dari Hatyai pada hari ini.


Peta Landasan Dan Taburan Stesen Kereta Api Di Kedah-Perlis


Kereta Api Lokomotif Bergerabak dan dikenali sebagai
"Keretapi Ekspress Rakyat"


Sewaktu Perang Dunia Ke-2, tentera British dalam keadaan terbelenggu oleh arahan, tidak sesekali dibenarkan menyeberangi perbatasan sehingga pihak Jepun melancarkan serangannya yang pertama. Mereka juga kehilangan inisiatif apabila pasukan tentera Jepun sudah mara ke pantai Singgora pada awal pagi 8 Disember 1941. Sementara itu, sebuah keretapi berperisai yang dipandu oleh mendiang Sarjan Eddie Augustin daripada “Railway Operation Maintainance Company” ( ROMC ), “Federated Malay States Volunteer Force” ( FMSVF ) sudah mara sejauh 10 batu masuk ke wilayah Siam dan meletupkan jambatan Hatyai – Padang Besar dan kemudian berundur ke Padang Besar.

Satu catatan diari yang disimpan oleh Sarjan Augustin, telah memberikan kisah secara langsung tentang pertempuran yang berlaku di sekitar Keretapi Kedah dalam Perang Tanah Melayu ( Battle Of Malaya ) pada hari permulaan peperangan tahun 1941:-

Jumaat, 5 Disember :
     Unit kami ( terdiri daripada kakitangan berbangsa Cina, Eurasian, India dan Melayu daripada F.M.S Railways di bawah pimpinan Kapten H.P. Yates, dan dia sendiri juga salah seorang pekerja keretapi ) diarahkan bergerak dari Dewan Latihan Tentera Sukarela Kedah di Alor Setar ke Asrama Kolej Sultan Abdul Hamid yang terletak berhampiran.

Sabtu, 6 Disember – Jam 1700 :
     O.C., Kapten Yates mengarahkan aku ke bangsal lokomotif untuk menyediakan kepala keretapi ( lokomotif ) berperisai. Selepas menghidpkan stim , pembantu keretapi yang pertama, Sapir Donald U’Ren ( sekarang Penasihat kepada “Asian Transport Workers” di pelbagai bahagian di Asia yang berkaitan dengan “Trade Union Administration, Finance and Negotiations” ),pembanti pemandu keretapi yang kedua, Sapir Megat Zakariah dan aku sendiri mengangkut peluru dan makanan selama dua hari.

Jam 2200 :
     Diarahkan ke Bukit Ketri dan menantikan isyarat ke sana untuk mengambil pasukan tentera dan meneruskan perjalanan ke Padang Besar. Dua buah keretapi yang mengangkut tentera mengekori di belakang dalam jarak 400 ela.

Jam 2400 :
     Tiba di Arau.

Ahad, 7 Disember – Jam 0200 :
     Dua buah keretapi yang mengekori belakang sampai. Semua semangat. Sebagai NCO ( pegawai yang tidak bertauliah ) kanan, aku memastikan mereka tidak berbuat nakal.

Isnin, 8 Disember – Jam 0800 :
     Terdengar satu letupan yang kuat berhampiran dan ternampak banyak pesawat udara. Ambil tindakan. Tidak pasti beberapa jauh lagi kami harus pergi dan berasa ragu-ragu tentang sama ada arang batu mencukupi atau tidak, aku menelefon Kodiang untuk mendapat bekalan lebih. Pada jam 1000, sebuah keretapi rosak tiba membawanya.

Jam 1600 :
     Terima arahan untuk pergi ke Bukit Ketri dan di sana, kami mengambil beberapa orang askar Punjabi di bawah pimpinan Kapten Burns. Detasmen ini melibatkan sapir dan pelombong.

Jam 1700 :
     Mara dengan berhati-hati ke wilayah Thai. Sampai di jambatan Hatyai – Padang Besar yang besar itu, sapir tadi bersedia meletupkannya. Diarahkan mengundurkan keretapi sejauh sebatu. Sementara menanti letupan tersebut, terdengar konvoi musuh berderam-derum di atas jalan setengah batu dari situ.

Pemusnahan jambatan itu selesai, kami bergegas kembali ke Kodiang.


Selasa, 9 Disember – Jam 0530 :
     Tiba di Kodiang. Berehat di sana untuk sejam dua dan kemudian kembali ke Bukit Ketri dan di sana kami berjaga-jaga siang malam.

Rabu, 10 Disember – Jam 0600 :
     Undur sedikit kerana artileri musuh membidik meriam mereka.

Jam 1800 :
     Diarahkan berundur. Di Kodiang, terjumpa dua tong minyak enjin dan minyak silinder. Mengisi kotak kami hingga penuh dan kemudian menuang semua baki minyak yang tinggal ke tanah supaya musuh tidak dapat. Sehingga diarah berundur pada jam 2300, menjalankan rondaan di landasan antara Kodiang dengan Arau.

Jumaat, 12 Disember – Jam 1300 :
     Beberapa orang daripada East Surreys muncul dari hutan sebelah kanan kami. Kami agak terperanjat apabila melihat seorang rakan di kalangan mereka membawa mesingan ringan. Untuk merayakan pertemuan semula, kami berkongsi sebotol jus limau.

     Ketika kami berbual-bual, kami ternampak suatu pergerakan yang diragui di sawah padi bersebelahan. Berjalan sejauh sebatu sehingga seorang askar berbangsa India datang memberitahu kami bahawa pihak musuh cuba mengepung kami. Hantar maklumat tersebut ke ibu pejabat, beri amaran kepada semua pasukan yang berdekatan, dan menantikan arahan. Dalam tempoh beberapa minit, datang arahan untuk berundur. Sebuah keretapi dengan gerabak sampai di tempat kejadian. Mengambil pasukan tentera dan membawa mereka kembali ke Anak Bukit. Lima minit kemudian, pihak Jepun buat serangan.

Sabtu, 13 Disember – Jam 0800 :
     Mengambil air di Alor Setar selepas membuat rondaan di seksyen Alor Setar – Anak Bukit sepanjang malam. Diarahkan berundur. Semasa kami hendak bertolak, suatu letupan dahsyat menggegarkan kawasan sekeliling – sapir telah meletupkan jambatan keretapi Alor Setar.
Jambatan Keretapi Lama Alor Setar

     Namun begitu, sebahagian sahaja daripada jambatan tersebut yang berjaya dimusnahkan. Landasannya masih berada di galang. Arahan diterima untuk membiarkan kepala keretapi diluncurkan di atas jambatan dan dibiarkan jatuh terbenam ke dalam sungai.

     Baru sahaja hendak aku melakukannya, Kapten Burns datang dan meminta aku menunjukkannya bagaimana mengendalikan pengumpil. Aku secara sukarela menawarkan diri melakukannya sendiri tetapi dia mengarahkan aku turun daripada kepala keretapi itu kerana kakiku kembang dek air dan dalam keadaan teruk.

     Maka, aku beserta pemandu keretapi memunggah barang kepunyaan kami dan melihat kepala keretapi itu meluncur pergi. Kami hairan apabila melihat ia melincat naik ke atas landasan yang terputus itu, membetulkan kedudukannya dan terus meluncur. Kami lantas mengekorinya. Ketika kami berbuat demikian, tembakan kedengaran di belakang kami.

     Untuk memintas kepala keretapi itu, aku cuba menumpang naik sebuah trak yang lalu tetapi tiada tempat untuk aku. Namun begitu, 1.5 batu jauh ke hadapan, pasukan Artileri Diraja membawa aku sejauh satu batu sehinggalah mereka menerima arahan supaya berpatah balik. Dalam kesakitan yang amat sangat, aku menapak sejauh 12 batu sebelum sebuah trak mengambilku. Memandangkan aku tidak tidur selama lima hari, aku terlena dan terjaga apabila kami tiba di Sungai Petani.

     Pergi stesyen keretapi untuk melaporkan diri kepada O.C. dan memberitahu bahawa Sapir U’Ren sedang membawa balik kepala keretapi itu yang disambungkan kepada Keretapi Palang Merah. Aku diarahkan untuk mengambil alih keretapi tersebut. Aku melakukannya dan memandunya ke Bukit Mertajam dan di sana kakitangan bantuan mengambil alih tugas tesebut.

Stesen Keretapi Bukit Mertajam


Demikian itulah sebahagian daripada cebisan diari oleh Sarjan Agustin. Pihak tentera Jepun ketika itu tetap membaikpulih beberapa jambatan yang telah runtuh untuk mara ke selatan seterusnya menakluk Semenanjung Tanah Melayu. Ketika itu juga, tentera Jepun telah berjaya mengambil alih separuh kawasan negeri Kelantan dan akan terus menakluk negeri-negeri lain. Penjajahan Jepun tidaklah terlalu lama setelah Hiroshima dan Nagasaki di bom, dengan serta-merta mereka menyerah kalah.

Pada 2008, satu projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh – Padang Besar ( PLBE ) telah dijalankan selama lima tahun. Projek ini juga adalah sebahagian daripada pelan induk untuk memajukan sistem pengangkutan awam di Malaysia dibawah Unit Perancang Ekonomi ( EPU ) di Jabatan Perdana Menteri. Pembangunan landasan keretapi berkembar ini melibatkan negeri di Utara Semenanjung seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Pembinaan infrastruktur landasan keretapi ini telah bermula di Ipoh sehingga ke Padang Besar. Namun, disebabkan ada beberapa jambatan lama yang tidak dapat diubahsuai maka pihak terbabit telah mengubah laluan landasan tersebut tambah pula mengambil faktor lurusnya landasan dan mengurangkan liku-liku pada rel keretapi. Pihak kerajaan juga ingin menjaga nilai estetika dan sejarah yang terdapat di jambatan lama agar dapat menjadi satu bukti artifak lampau yang maju bergerak mengikut peredaran zaman.

Tidak jauh dari Jambatan Lama Keretapi Pinang Tunggal adalah
laluan baru bagi landasan berkembar.


Tambahan lagi, ada beberapa laluan lama yang terdedah kepada risiko banjir kilat. Oleh itu, langkah segera diambil dalam menyusun laluan baru serta membina semula stesyen keretapi milik KTMB di Alor Setar, Anak Bukit, Gurun, Ko’bah, Tunjang, Bidong dan Sungai Petani. Kini, pengangkutan tersebut telah menjadi satu kemudahan bagi masyarakat di Utara Semenanjung dengan perkhidmatan Komuter dan ETS.

Setakat itu sajalah coretan artikel buat kali ini tentang pengangkutan keretapi di Kedah. Cuma aku berharap jambatan lama yang berada dalam Kedah dibaikpulih dan diangkat sebagai satu pusat pelancongan sepertimana Jambatan Victoria di Kuala Kangsar, menjadi tumpuan pelancong dan masyarakat di Perak. Sekian.













Nota:- Bila tengok balik memang terserlah pemandangan ‘vintage’ di Jambatan Lama Pinang Tunggal. Biarpun beratus tahun, masih utuh menyangga ditengah-tengah Sungai Muda. Baru teringat, Bahagian Unit Pelancongan Dan Warisan Seberang Perai MPSP ada meletakkan jambatan ini untuk dilawati.

Apapun, kita sebagai masyarakat perlu bertanggungjawab untuk komersialkan tempat-tempat sebegini agar ianya tidak dilupa ataupun luput ditelan zaman. Tambah pula bagi golongan orang lama, mungkin jambatan ini mengamit kenangan dan nostalgia bersama. Itulah memori yang akan diceritakan kepada generasi masa hadapan. 

#pinangtunggal #kedah #penang #keretapi #nostalgia

Rabu, 19 Jun 2019

Kota Seputih : Jamung Yang Terpadam

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di bulan Syawal ini, aku nak sambung semula penceritaan tentang negeri Kedah Darul Aman pada abad ke-13 hingga abad ke-16. Pada artikel lepas iaitu, “BATU NISAN : SATU PERBANDINGAN" telah pun diceritakan tentang 5 sultan yang pernah memerintah disekitar kawasan Kota Kuala Muda. Namun, selepas kemangkatan Sultan Kedah Ke-5, pusat pemerintahan Kedah mula berpindah ke utara negeri yakni; Kota Seputih. Kota ini dibina oleh Tengku Ahmad Raja Muda Ibni Sultan Mudzil Shah pada tahun 1282 atas titah Sutan Mahmud Shah l. Kini, bekas Kota Seputih berada berhampiran dengan Pekan Padang Sera, dalam mukim Pering, daerah Kubang Pasu.

Pemerintah pertama Kota Seputih adalah Almarhum Sultan Ibrahim Shah, Sultan Kedah Ke-6 selama 52 tahun manakala pentadbiran Kota Sungai Emas diberikan kepada Paduka Ayahanda Tengku Ahmad Raja Muda. Kota Bukit Meriam pula diserahkan kepada Dato Tan Derma Dewa untuk menjaganya selepas mendapat titah daripada Paduka Ayahanda Tengku Ahmad dan juga mengatur penjagaan sehingga ke Sungai Kerian serta pulau-pulau berdekatan. Dibawah adalah senarai pemerintah yang pernah bersemayam di Istana Kota Seputih. Antaranya ialah:-
1) Sultan Ibrahim Shah [ 721 H / 1321 M ]
2) Sultan Sulaiman Shah l [ 775 H / 1373 M ]
3) Sultan Atha’allah Muhammad Shah l [ 826 H / 1423 M ]
4) Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah l [ 877 H / 1473 M ]
5) Sultan Mahmud Shah ll [ 912 H / 1506 M ]
6) Sultan Mudzaffar Shah ll [ 953 H / 1547 M ]
7) Sultan Sulaiman Shah ll [ 1011 H / 1602 M ]

Waktu pemerintahan Sultan Atha’allah Muhammad Shah l, baginda telah menitahkan pada menteri-menteri agar korek suatu sungai bermula daripada Sungai Jerlun sampai ke Alor Janggus lalu terus korek hingga ke Kubang Rotan dan akhirnya berhubung dengan Sungai Mati. Kuala Sungai Mati pula tembus ke sungai besar Kuala Kedah. Baginda berbuat demikian untuk sekalian rakyat buka tanah perbuat bendang. Pabila siap sungai tersebut, selang lima enam tahun dikorek pula sungai daripada Gunung Keriang sampai ke Sungai Besar Cegar, Anak Bukit atas tujuan yang sama sebelum ini. Ketika ini, banyak kawasan yang telah diairi untuk penanaman padi bermula di sekitar Lembah Bujang dan Kota Kuala Muda dan makin meluas hingga ke Kota Seputih. Kalau dikira balik usia pembuatan sungai-sungai ini sudah menjangkau 596 tahun!

Kedah makin menyerlah ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah ll apabila pelabuhannya menjadi pusat utama perjalanan laut dari Teluk Parsi ke China dan dari India ke selatan melalui Selat Melaka. Maka, baginda menitahkan untuk memperkenalkan sistem sukatan dan sistem matawang yang akan digunakan secara meluas dalam Negeri Kedah. Antaranya ialah kepul, kal, cupak dan gantang. Ada pula pengiraan sukatan yang berbeza antara satu sama lain misalnya:-
• 3 genggam telentang = 1 kepul
• 2 kepul ( 6 genggam ) = 1 kal
• 4 kepul ( 12 genggam ) = 1 cupak
• 4 cupak ( 48 genggam ) = 1 gantang

Untuk sukatan kepul, kal dan cupak diperbuat dengan tempurung nyiur manakala gantang pula diperbuat dengan kayu yang ditebuk seumpama galuh gendang. Ditepi sukatan tersebut dicap dengan timah yang bertulis ‘Negeri Kedah Darul Aman’. Untuk sistem matawang diperkenalkan tera yang diperbuat dengan timah. Sifatnya bulat dan nipis seumpama buah mentalun yang berlubang ditengah dengan tertulis kelilingnya ‘Negeri Kedah Darul Aman’. Berikut penjelasan kiraan matawang dibawah:-
• 12 tera = 1 pitis
• 150 tera = 12½ pitis = 1 kupang ( emas )
• 600 tera = 4 kupang = 1 jampal ( emas )
• 1200 tera = 2 jampal = 1 riyal ( perak )

Untuk pengetahuan, tera ialah matawang timah , khususnya di Kedah. Kupang dan jampal ialah matawang emas. Satu jampal disebut juga satu emas, mengandungi emas sebanyak 2.4 gram. Riyal ialah matawang perak yang besar mengandungi perak sebanyak kira-kira 27 gram. Dahulu, pernah ditemui dua jenis matawang timah iaitu berukuran besar dan kecil. Dipercayai yang besar ialah pitis manakala yang kecil ialah tera. Kiranya, zaman tersebut di pasar-pasar kampung sudah menggunakan tera ini sebagai pitis perbelanjaan harian mereka. Rasa-rasa selepas artikel ini keluar ramai pula yang akan mencari matawang ini disekitar Kubang Pasu, habuan duit raya. Sebenarnya, ada beberapa maklumat lain tentang penggunaan matawang ini namun menurut manuskrip At Tarikh Al Salasilah Negeri Kedah mengatakan ianya diperkenalkan pada zaman Sultan Mansur Shah ll.

Walau bagaimanapun, berkemungkinan sistem ini sudah diperkenalkan sebelum zaman itu lagi. Dalam beberapa manuskrip bertarikh 1516 Masihi, Barbosa; seorang pedagang Portugis yang terkenal, menggambarkan Kedah sebagai “kawasan di bawah taklukan Siam”, mengatakan pelabuhan ini terdapat bilangan kapal yang berlabuh tidak terhingga banyaknya, berdagang dengan pelbagai barangan. Banyak bilangan kapal orang-orang Moor dari semua pelusuk datang ke sini. Penanaman lada hitam yang terbaik dan terhalus di Kedah telah di angkut ke Melaka sebelum di eksport ke China. Reputasinya sebagai pelabuhan lada hitam telah mengilhamkan seorang penjajah Portugis terkenal iaitu, Vaz De Camoens ( 1524 - 1579 ) menyebut dalam sajak terkenalnya Lusiad, diterbitkan pada tahun 1571 yang meraikan kemunculan orang Portugis di India Timur dalam barisnya,

“Behold Tawai City whence begin Siam’s dominions, reign of great extent; Tenasseri; Quedah of Town the Queen, that bear the burthen of the hot piment.”

Terjemahannya:
“Lihatlah kemunculan Bandar Tawai, bawah penaklukan Siam pemerintahnya yang meluas; Tenasseri; sebuah Bandar kedah Permaisuri, yang melahirkan bebanan rempah ratus yang pedas.”

Sultan Mudzaffar Shah ll naik takhta pada tahun 1547, memerintah Kota Seputih selama 55 tahun. Ketika itu, baginda teringat hendak perbuat suatu kota. Maka, berangkatlah Duli Baginda dengan para menteri mencari tempat tuk diperbuat istana. Akhirnya, baginda berkenan tuk perbuatkan istana dan kota di Naga(atau dipanggil Kota Naga). Kini kawasan tersebut adalah Kampung Naga, Daerah Kubang Pasu. Dato’ Maharaja Lela menjunjung titah Duli Baginda lalu menghimpunkan sekalian rakyat perbuat kota dan Balai Penghadapan di dalamnya dan diperbuatkan satu padang yang luas dihadapan kota. Selepas itu, dikorek pula sungai daripada Sungai Besar Alor Ganu ( mungkin sungai besar Padang Terap yang melalui kawasan Kampung Alor Ganu ) terus pergi berhampiran dengan Kota Naga , langsung tembus ke Bukit Tinggi.

Kota Seputih bertahan sebagai kota pemerintahan Kedah Darul Aman kira-kira 343 tahun lamanya sebelum berpindah ke Kota Naga. Bermakna, kawasan daerah Kubang Pasu telah diteroka kira-kira pada abad ke-12 dan mungkin lebih lama lagi daripada angka tersebut. Namun, makam enam sultan yang memerintah Kota Seputih sehingga sekarang masih tak dijumpai, sepertinya ghaib ditelan bumi. Sultan Sulaiman Shah ll akan aku cerita di lain artikel sebab banyak fakta nak kena teliti balik. Kalau masuk dalam artikel ini takut tak terbaca nanti. Jadi , sekian sahaja buat kali ini.

Nota:- Artikel ini paling lama aku karang sebab banyak kali tertangguh dan ada beberapa info baru yang aku dapat serta sempat selitkan dalam artikel ini. Banyak pengkaji cuba mencari makam di sekitar daerah Kubang Pasu namun hampa akibat pembangunan dan juga kawasan kuari yang telah benamkan beberapa artifak Negeri Kedah. Nak buat macam mana, orang kita terlampau rakus pada tanah yang akhirnya memakan diri sendiri. Tetapi, makam Puteri Lindungan Bulan menjadi petunjuk utama aku tentang Kompleks Makam Diraja Langgar Kota Seputih. Apapun, ambil lah ikhtibar daripada cerita dan lembaran sejarah yang lalu. Bukan setakat untuk dikenang malah dijadikan pedoman dan pengajaran. Sekarang ini pun Kota Seputih sepertinya hilang disebalik sejarah purba daerah Kubang Pasu. Harap-harap artikel ini sedikit sebanyak membuka minda tentang kawasan tersebut.
#kotaseputih #kedahdarulaman

Selasa, 11 Jun 2019

Taj Mahal Diraja Kedah

Sempena bulan Syawal yang penuh kemeriahan ini, malam ini rasa nak ceritakan satu istana lama di tengah-tengah Bandaraya Alor Setar iaitu Istana Che Sepachendera @ Istana Kampung Bharu. Istimewanya, istana ini sebenarnya adalah bukti lambang cinta dan kasih seorang Kerabat Diraja Kedah dengan wanita daripada Kerabat Siam dan akhirnya menjadi suami isteri yang bahagia. Siapakah pasangan itu? Tak lain tak bukan ialah Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah dan isteri baginda, Che Sepachendera.

Istana ini dibina pada April 1882 selepas baginda naik takhta sebagai Sultan Kedah ke-26 tahun 1881 dan menjadi istana pertama Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, berikutan sebelum ini baginda bersemayam di Istana Anak Bukit. Sekaligus, menjadi kediaman peribadi baginda dan isteri serta anakanda nya selain Istana Kota Setar ( Ketika itu masih berfungsi sebagai kediaman rasmi istana Kedah tambahan pula Paduka Bonda Che Wan Tempawan masih menetap di istana tersebut).

Gabungan senibina Siam dan Melayu membuatkan istana ini nampak megah di tengah-tengah pekan ketika itu. Che Sepachendera mempunyai putera puteri yang diputerakan di istana terbabit, termasuklah Tunku Ibrahim (Tunku Sulung), Tunku Rokiah, Tunku Zamzam dan Tunku Kasim (Tunku Laksamana). Disinilah memori tercipta dalam kasih sayang antara dua insan ini, walaupun baginda harus mengutamakan pentadbiran Negeri Kedah serta kebajikan rakyat jelatanya. Namun, baginda tidak dapat menolak takdir Illahi apabila Che Sepachendera mangkat pada 10 Februari 1907 dan telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar.

Selepas kemangkatan Che Sepanchendera, istana ini masih terus didiami dan diwariskan kepada anakandanya yang masih bujang. Pada tahun 1922, di atas kesedaran dan prihatinnya Tunku Ibrahim ketika itu betapa pentingnya institusi pendidikan, sebuah Sekolah Inggeris Perempuan telah diwujudkan di situ dengan nama Sekolah Perempuan Kampung Baharu (Kampung Baharu Girl’s School). Menurut Tunku Mansor Tunku Kasim, yang juga cucunda kepada Sultan Abdul Hamid, pada peringkat permulaan, istana terbabit menjadi keutamaan buat golongan kerabat diraja mendapat pendidikan awal mereka.

Di sinilah anak raja dan pembesar-pembesar diajar tentang pendidikan, ilmu menenun dan sebagainya. Bermula dengan pelajar seramai 30 orang dan meningkat menjadi 45 orang pelajar pada tahun 1933. Pendidikan di sekolah ini berterusan sehinggalah tahun 1954. Apabila Sekolah Menengah Sultanah Asma diasaskan di Jalan Langgar pendidikan Kampung Baharu Girls’s School ini telah berpindah ke sana pula. Pada tahun-tahun berikutnya, istana ini bermula mengalami beberapa perubahan demi perubahan sama ada di dalam mahupun di luar apabila fungsinya mula bertukar menjadi institusi pendidikan dengan Kampung Baharu Girl’s School.

Namun begitu pada tahun-tahun 1942-1943, istana ini pernah dijadikan sebagai Pejabat Penyelamat Kebakaran (BOMBA) dan Sekolah Bahasa Jepun. Rentetannya, istana ini juga pernah dijadikan Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim dan cawangan Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Audit. Pada tahun 2000, bangunan tersebut telah berubah fungsinya sama sekali dengan menjadi kediaman Al Khwarizmy bagi pelajar-pelajar lelaki dari Kolej Universiti Insaniah, Kedah (KUIN) dan kemudiannya terbiar kosong sehingga sekarang.

Semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu (1941-1943), istana ini pernah dijadikan markas tentera Jepun. Ketika itu, baginda berada di Kulim sebagai tempat perlindungan hasil 'penculikan' oleh anakanda nya iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Selepas itu, Jepun menghantar rombongan untuk mengiringi baginda kembali ke Alor Setar. Namun, pihak Jepun tidak membenarkan baginda bersemayam di istana tersebut lalu Pemangku Raja membawa baginda tinggal di Istana Anak Bukit.

Sebenarnya, baginda amat kecewa kerna tidak dapat menghabiskan hayatnya di istana terbabit yang mengamit memori cintanya bersama isteri baginda. Akhirnya, baginda mangkat pada tahun 1943, setelah memerintah Kedah selama 62 tahun. Persediaan untuk menyambut Jubli Intan baginda sedang berjalan tetapi apabila Jepun menyerang Kedah, segala-galanya terbantut. Secara kebetulan, tidak lama selepas askar Jepun menduduki Istana Kampung Bharu, petir menyambar tiang bendera istana lalu membelahya dari atas ke bawah dan bendera Jepun jatuh menyembah bumi.

Kini, kerosakan istana ini hampir 80% menyebabkan kos penyelenggaraan dan peruntukan yang agak tinggi bagi memulihara khazanah tersebut. Aku cuba mencari informasi lain dan tak silap pada tahun 2014 istana ini dalam pewartaan sebagai Muzium Diraja Sultan Abdul Hamid namun sampai sekarang tiada apa-apa tindakan diambil. Maka, aku minta sesangat perbincangan istana ini perlu diberi penekanan oleh pihak istana serta kerabat diraja dan juga pihak lembaga muzium agar kata sepakat diperolehi dengan cepat sebelum ianya mejadi longgokan runtuhan yang tiada nilai. Sekian.

Nota:- Banyak orang keliru pasal Istana kuning dengan Istana Che Sepachendera sebab kedudukan nya cuma bersebelahan saja. Raya baru ini, sempat juga singgah sekejap tapi dah letak rantai besi depan pintu pagar. Mungkin nak mengelakkan daripada penceroboh. Namun, begitulah kisah cinta Diraja Kedah sampai akhir hayat mereka. Aku letak perbandingan gambar yang diambil pada 2016 dan 2019, pepandailah korang nilai sendiri bagaimana keadaan istana tuh. Al-Fatihah buat almarhum serta isteri baginda.

Isnin, 29 April 2019

Sungai Batu : Sezaman Tamadun Dunia

Ok, seperti mana yang telah diwar-warkan oleh beberapa pages sejarah tentang perubahan tahun kewujudan Sungai Batu. Terkini, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM telah mengumumkan perubahan tahun wujudnya Tapak Sungai Batu ialah pada tahun 788 SM berbanding yang direkodkan adalah tahun 587 SM. Ini bermakna, Tamadun Sungai Batu telah mewakili Kedah Tua sebagai tamadun yang maju seiring dengan kegemilangan tamadun dunia yang lain.

Maka, artikel kali ini aku akan menceritakan serba sedikit beberapa tamadun dunia yang berada dalam kronologi masa Tamadun Sungai Batu. Antaranya ialah:-

TAMADUN ASSYRIA
Lamassu dari Citadel of Sargon ll, dihasilkan antara tahun 720 - 705 SM.

Golongan Assyria mengambil nama mereka dari Assur, iaitu bandar yang terletak di Sungai Tigris, iaitu di Timur Utara Syria. Mereka merupakan orang yang berkuasa di Timur Dekat. Kira-kira pada 900 SM, kerajaan Assyria telah ditubuhkan. Assyria, dengan pusat yang begitu terkenal dan berjaya, iaitu di Nimrud, Khorsabad dan Nineveh, telah ditempatkan di dalam kota dengan struktur kemaharajaan dan meliputi kawasan di antara Sungai Tigris ke Nil dan dari Terluk Parsi ke Asia Kecil.

Shalmaneser III (858 SM–823 SM), mempunyai pemerintahan panjang selama 34 tahun, apabila ibukota Assyria telah bertukar kepada kem bersenjata. Setiap tahun tentera Assyria mara keluar darinya untuk merompak dan memusnah. Babylon telah dijajah, dan Babylonia dikurangkan ke orang pesuruhan. Dia bertempur terhadap Urartu, dan marakan satu tentera terhadap perikatan negeri Syria diketuai oleh Benhadad dari Damsyik, dan termasuk Ahab, raja dari Israel, pada Pertempuran Qarqar pada (854 SM). Meskipun huraian Shalmaneser 'mengalahkan penentangan', ia kelihatan pertempuran berakhir dalam kebuntuan, laksana pasukan Assyria telah berundur selepas itu.

Shalmaneser ambil semula Carchemish pada 849 SM, dan pada 841 SM marakan satu tentera terhadap Hazael, Raja dari Damsyik, mengepung dan ambil kota itu. Dia juga dibawa dibawah penghormatan Jehu dari Israel, Tyre, dan Sidon. Tugu hitamnya, dijumpai di Kalhu, merekodkan banyak eksploit tentera dari pemerintahannya. Sedikit akhir tahun dari hidupnya telah diganggu oleh pemberontakan dari anak sulung lelakinya yang hampir terbukti malapetaka. Assur, Arbela dan tempat lain sertai pembohong, dan pemberontakan telah dimansuhkan dengan kesukaran oleh Shamshi-Adad V, anak lelaki kedua Shalmaneser, yang kemudian menggantikannya (824 SM).

Abad berikutan, Assyria sekali lagi mengalami kemerosotan bandingan, terhutang ke pemerintah lebih lemah (termasuk Ratu Semiramis) dan satu kemunculan semula dalam perkembangan oleh Urartu. Pengecualian yang penting ini adalah Adad-Nirari III (810 SM–782 SM), yang menawan Damsyik pada 804, membawa Syria di bawah penghormatan sejauh selatan seperti Samaria dan Edom, dan yang mara terhadap Medes, mungkin jadi malah menembusi ke Laut Kaspia.
Perpustakaan Raja Ashurbanipal, dibina sama dengan Istana Nineveh. Nineveh adalah ibu kota Assyria dari abad ke-9 hingga ke-7 SM, tetapi telah dimusnahkan pada tahun 612 SM.


TAMADUN YUNANI
Patung Dewa Zeus, dibina diantara tahun 450 - 435 SM.

Yunani berkembang di Semenanjung Greece dan pulau-pulau di sekitarnya yang dikelilingi oleh Laut Aegean dan Laut Mediterranean. Tamadun ini bermula dengan pembentukan petempatan manusia yang dikenali sebagai negara kota atau Polis. Negara kota terbentuk hasil gabungan beberapa buah penempatan dan bandar pada sekitar tahun 1000-800 SM. Terdapat banyak negara kota pada zaman Yunani dan setiap negara kota mengandungi sebuah kota yang dikelilingi oleh kawasan pertanian dan di dalam kota terdapat pasar, kubu, kuil dan istana.

Walaupun terdapat banyak negara kota di Yunani tetapi yang paling menonjol ialah Athens, Sparta dan Corinth. Ketiga-tiga negara kota tersebut terletak berhampiran dengan Laut Mediterranean. Setiap negara kota memiliki corak pemerintahan dan undang-undang tersendiri selain turut memiliki beberapa tuhan.

Salah satu fakta yang popular adalah Sukan Olimpik. Asal Sukan Olimpik tidak lagi diketahui tetapi banyak lagenda tertulis bersama sama sukan ini. Sambutan pertama Sukan Olimpik yang direkodkan adalah pada 776 SM, walaupun tarikh ini bukanlah kali pertama Sukan Olimpik diadakan. Pada masa itu, hanya satu sahaja acara yang dipertandingkan.

Sejak itu, sukan mula menjadi penting dalam Yunani Purba dan mencapai kegemilangannya pada abad ke-6 dan ke-5 SM. Olimpik juga mempunyai kepentingan agama iaitu sebagai penghormatan kepada Dewa Zeus (patung besarnya ada di bandar Olympia). Pemenang sukan ini akan dihormati dan diabadikan dalam puisi dan dijadikan patung.

Sukan ini semakin hilang kepentingannya dengan penaklukan Rom ke atas kaum Yunani. Apabila agama Kristian menjadi agama rasmi Empayar Rom, Sukan Olimpik dianggap sebagai suatu amalan orang tidak beragama (pagan), maka Maharaja Theodosius mengharamkan pertandingan ini pada tahun 393 M, menandakan berhentinya sukan Olimpik selama ribuan tahun sehinggalah ia diadakan semula pada abad ke-19.
'Geometric Krate' dari makam Dipylon, Greece. Tembikar ini telah ditanam kira-kira pada tahun 740 SM menandakan kubur seorang lelaki.

Dua tamadun ini telah menunjukkan kegemilangan dan kebangkitan beberapa siri peradaban kaum yang melibatkan antara satu sama lain, begitu juga dengan Tamadun Sungai Batu. Dibawah ini adalah kronologi tahun mengikut beberapa tamadun.

= 797 SM - Ardysus I menjadi Raja Lydia.
= 797 SM - Thespieus, Raja Athens, mangkat selepas memerintah selama 27 tahun, dan diwarisi oleh anak lelakinya, Agamestor.
= 783 SM - Shalmaneser IV mewarisi bapanya, Adad-Nirari III, sebagai Raja Assyria.
= 782 SM - Pengasasan Erebuni di bawah perintah Raja Argishtis I di kawasan Yerevan kini.
= 782 SM - Kemangkatan Raja Xuan dari Zhou, Raja Dinasti Zhou di China.
= 781 SM - Raja You dari Zhou menjadi Raja Dinasti Zhou di China.
= 780 SM - Gerhana suria bersejarah yang pertama dicatatkan di China.
= 778 SM - Agamestor, Raja Athens, mangkat selepas pemerintahan selama 17 tahun, dan diwarisi oleh anak lelakinya, Aeschylus.
= 776 SM - Sukan Olimpik pertama yang dicatat. Sejarah Sukan ini dipercayai bermula sejak abad ke-13 SM lagi, tetapi rekod yang lebih awal tidak wujud.
= 774 SM - Keakhiran pemerintahan Pygmalion dari Tyre.
= 773 SM - Kemangkatan Shoshenq III, Raja Mesir.
= 773 SM - Ashur-Dan III mewarisi abangnya, Shalmaneser IV, sebagai Raja Assyria.
= 771 SM - Keakhiran Dinasti Zhou Barat di China apabila puak-puak gasar "barat" menjarah ibu kota Hao dan membunuh Raja You dari Zhou. Putera Mahkota Ji Yijiu melarikan diri dan kemudian memerintah sebagai Raja Ping dari Zhou.
= 770 SM - Permulaan Dinasti Zhou Timur di China apabila Raja Ping menjadi raja Zhou yang pertama untuk memerintah dari Chengzhou, ibu kota baru di Luoyang kini.

Tamadun Sungai Batu di Kedah Tua adalah tapak pengeksport besi ke seluruh benua kerana penemuan beberapa tapak peleburan besi dan tuyere. Tambahan pula, ketika itu di Asia Tenggara berada dalam Era Zaman Besi (1200-200 SM), satu zaman permulaan kepada peleburan besi setelah berakhirnya Zaman Logam (Bronze Age). Disebabkan itulah, Kedah Tua banyak panggilan nama di dalam pelbagai catatan purba. Inilah salah satu bukti yang ditunjukkan pada masyarakat Malaysia tentang peradaban yang gah sewaktu ketika dahulu.

Nota:- Pemberitahuan ini agak mengembirakan untuk para pengkaji dan pencinta sejarah. Namun, bagi aku masih rasa sangsi. Adakah perubahan terbaru ini akan memberi kesan kepada anjakan paradigma terhadap Tapak Sungai Batu atau sekadar kawasan yang 'hidup segan mati tak mahu'? Ya, memang diakui Sungai Batu tidak ada binaan yang tinggi, membolehkan para pelawat ber'selfie' namun itulah realitinya pabila kehendak netizen itu tiada dalam senarai mereka. Allahuakhbar.

Jadi, mohon pada masyarakat sebarkan lah cerita Tapak Sungai Batu dan Lembah Bujang sebagai satu destinasi keluarga dan para pelajar untuk tambah pengetahuan sejarah Tamadun Purba Kedah Tua. Rasai sendiri pengalaman berada disana sambil berpeluang berekskavasi dengan barang-barang lama. Apapun, Kedah Tua ternyata sebagai satu Tamadun Tertua di Asia Tengggara dan Dunia. Sekian.

Khamis, 18 April 2019

Nisan Makam : Satu Perbandingan

Pagi ini, nak kongsi satu perbandingan artifak. 

Seri Paduka Maharaja Derbar Raja adalah pemerintah ke-9 dari jalur Merong Mahawangsa yang memeluk Islam dengan memakai gelaran Sultan Al-Mudzaffar Shah I, Sultan Kedah Pertama. Baginda bersemayam di Kota Bukit Meriam bersama tiga cahaya mata; Raja Muda Tunku Mahmud, Laksamana Tunku Sulaiman dan Sultan Mu'adzam Shah.

Satu penemuan makam di Bukit Meriam dan dikatakan milik Sultan Al-Mudzaffar Shah I. Persoalannya, siapakah gerangan empunya makam di Pengkalan Bujang?

Disini aku nak rungkaikan sikit. Pemerintahan Sultan Kedah Pertama bermula pada 531H/ 1136M di Kota Bukit Meriam, diikuti dengan keturunannya Sultan Mu'adzam Shah [ 575H/1179M ] dan Sultan Muhammad Shah [ 598H/1202M ]. Selepas itu, berpindah ke Kota Sungai Mas dan bersemayam pula Sultan Mudzil Shah [ 634H/1236M ] sehingga lah Sultan Kedah Ke-5, Sultan Mahmud Shah [ 679H/1280M ] barulah pusat pemerintahan berpindah ke Kota Seputih, kawasan Jitra. Bermakna, ada 5 keturunan kerabat sultan yang memerintah telah dimakamkan sekitar Kota Kuala Muda, Kota Sungai Mas dan sekitar Bukit Berangan.

Dari apa yang aku dapat, bentuk nisan Aceh di Pengkalan Bujang adalah dari abad ke-17 Masihi, motif petola berhias motif mahkota teratai dan sudah tentu ianya lari jauh dari kronologi masa dengan Sultan Kedah Pertama. Berkemungkinan, makam di Lembah Bujang adalah kerabat Diraja Kedah. Tambahan pula, tidak jauh dari kawasan itu ada beberapa tinggalan istana misalnya Istana Pulau Tiga/Istana Merbok. Bahkan, Tapak Arkeologi Sungai Batu yang seluas 1-4 km persegi menjadi ukuran peradaban disitu.

Berbeza pula bentuk nisan di Kota Sungai Mas yang merujuk kepada zaman pemerintahan kerajaan Samudera Pasai, bermotifkan sulur kacang dan bunga cempaka serta motif itik pulang petang yang wujudnya pada abad ke-13 Masihi. Dikatakan milik Sultan Mudzil Shah dan Sultan Mahmud Shah yang pernah naiki takhta di Kota Sungai Emas.

Rasanya, makam di Bukit Meriam memang tak disangkal lagi milik Sultan Al-Mudzaffar Shah I kerana bentuk nisannya tak serupa dengan kajian nisan yang lain sebabkan ianya besar dan leper dan mungkin nisan paling tua yang wujud dalam Kedah. Tambahan pula, ada beberapa sahabat yang menjumpai ukiran yang seakan namun masih utuh di kawasan Bukit Berangan kerna materialnya adalah sama.

Namun, dalam samar-samar, aku terkejut apabila mengetahui muara sungai Muda adalah muara baru. Kerna, telah menjumpai satu catatan yang mengatakan asal alur sungai tersebut mengalir ke muara sungai Merbok. Namun, disebabkan arus sungai Muda terlalu kuat sehingga memakan tebing , dikuatiri akan menenggelamkan perkampungan di Tikam Batu. Maka, titah sultan ketika itu disuruh para penduduk agar membelat alur sungai tersebut. Maka, wujudlah muara sungai seperti sekarang ini. Boleh google map di kawasan Jambatan Merdeka antara Bumbung Lima dengan Tikam Batu, ada satu sungai yang sudah 'dipalam' dan mati.

Bayangkan, zaman itu sudah ada pembinaan kota, pelabuhan dan boleh belat sungai. Perlukah kita mengatakan tamadun itu masih mundur? Sedangkan sudah mempunyai satu sistem pemerintahan yang hebat! Maka, setakat itu sahaja nukilan aku pada pagi ini.

Nota:- Alhamdulillah, satu persatu artifak sudah timbul ke permukaan untuk dinilai dan menjadi bukti peradaban kepada Kedah Tua. Jadi, janganlah tunggu ia dimamah bumi sekali lagi. Sekian, Selamat Pagi.