Pagi ini, nak kongsi satu perbandingan artifak.
Seri Paduka Maharaja Derbar Raja adalah pemerintah ke-9 dari jalur Merong Mahawangsa yang memeluk Islam dengan memakai gelaran Sultan Al-Mudzaffar Shah I, Sultan Kedah Pertama. Baginda bersemayam di Kota Bukit Meriam bersama tiga cahaya mata; Raja Muda Tunku Mahmud, Laksamana Tunku Sulaiman dan Sultan Mu'adzam Shah.
Satu penemuan makam di Bukit Meriam dan dikatakan milik Sultan Al-Mudzaffar Shah I. Persoalannya, siapakah gerangan empunya makam di Pengkalan Bujang?
Disini aku nak rungkaikan sikit. Pemerintahan Sultan Kedah Pertama bermula pada 531H/ 1136M di Kota Bukit Meriam, diikuti dengan keturunannya Sultan Mu'adzam Shah [ 575H/1179M ] dan Sultan Muhammad Shah [ 598H/1202M ]. Selepas itu, berpindah ke Kota Sungai Mas dan bersemayam pula Sultan Mudzil Shah [ 634H/1236M ] sehingga lah Sultan Kedah Ke-5, Sultan Mahmud Shah [ 679H/1280M ] barulah pusat pemerintahan berpindah ke Kota Seputih, kawasan Jitra. Bermakna, ada 5 keturunan kerabat sultan yang memerintah telah dimakamkan sekitar Kota Kuala Muda, Kota Sungai Mas dan sekitar Bukit Berangan.
Dari apa yang aku dapat, bentuk nisan Aceh di Pengkalan Bujang adalah dari abad ke-17 Masihi, motif petola berhias motif mahkota teratai dan sudah tentu ianya lari jauh dari kronologi masa dengan Sultan Kedah Pertama. Berkemungkinan, makam di Lembah Bujang adalah kerabat Diraja Kedah. Tambahan pula, tidak jauh dari kawasan itu ada beberapa tinggalan istana misalnya Istana Pulau Tiga/Istana Merbok. Bahkan, Tapak Arkeologi Sungai Batu yang seluas 1-4 km persegi menjadi ukuran peradaban disitu.
Berbeza pula bentuk nisan di Kota Sungai Mas yang merujuk kepada zaman pemerintahan kerajaan Samudera Pasai, bermotifkan sulur kacang dan bunga cempaka serta motif itik pulang petang yang wujudnya pada abad ke-13 Masihi. Dikatakan milik Sultan Mudzil Shah dan Sultan Mahmud Shah yang pernah naiki takhta di Kota Sungai Emas.
Rasanya, makam di Bukit Meriam memang tak disangkal lagi milik Sultan Al-Mudzaffar Shah I kerana bentuk nisannya tak serupa dengan kajian nisan yang lain sebabkan ianya besar dan leper dan mungkin nisan paling tua yang wujud dalam Kedah. Tambahan pula, ada beberapa sahabat yang menjumpai ukiran yang seakan namun masih utuh di kawasan Bukit Berangan kerna materialnya adalah sama.
Namun, dalam samar-samar, aku terkejut apabila mengetahui muara sungai Muda adalah muara baru. Kerna, telah menjumpai satu catatan yang mengatakan asal alur sungai tersebut mengalir ke muara sungai Merbok. Namun, disebabkan arus sungai Muda terlalu kuat sehingga memakan tebing , dikuatiri akan menenggelamkan perkampungan di Tikam Batu. Maka, titah sultan ketika itu disuruh para penduduk agar membelat alur sungai tersebut. Maka, wujudlah muara sungai seperti sekarang ini. Boleh google map di kawasan Jambatan Merdeka antara Bumbung Lima dengan Tikam Batu, ada satu sungai yang sudah 'dipalam' dan mati.
Bayangkan, zaman itu sudah ada pembinaan kota, pelabuhan dan boleh belat sungai. Perlukah kita mengatakan tamadun itu masih mundur? Sedangkan sudah mempunyai satu sistem pemerintahan yang hebat! Maka, setakat itu sahaja nukilan aku pada pagi ini.
Nota:- Alhamdulillah, satu persatu artifak sudah timbul ke permukaan untuk dinilai dan menjadi bukti peradaban kepada Kedah Tua. Jadi, janganlah tunggu ia dimamah bumi sekali lagi. Sekian, Selamat Pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan