Khamis, 11 April 2019

Dendangan Regalia Diraja Kedah

Sambil-sambil layan buat kerja , aku rasa sempat lagi nak menaip untuk artikel ini; yakni penutup ceritera Kota Setar. Mesti pelik dengar tajukkan? Ok, kali ini aku akan bercerita tentang Balai Nobat. Kenapa aku gelarkan sebagai "Dendangan Regalia Diraja Kedah" ? Kerna ia telah menyaksikan pertabalan 9 Maharaja dari keturunan Merong Mahawangsa yang memerintah Kedah Tua serta pertabalan 29 Sultan yang memerintah Kedah Darul Aman.

Menurut catatan manuskrip, Regalia Negeri Kedah bermula dengan tiga alat kebesaran , iaitu;-
# "MAHAGURU" , sebatang tongkat daripada rotan.
# "NAGARA" , sebuah gendang besar/Nakara/Tabuh.
# "NEPIRI" , sebuah alat meniup seperti seruling/serunai.

Ditambah empat peralatan daripada kemuliaan Hindu;-
# Dua gendang
# Dua serunai [ Kecil & Besar ]

Ditambah dua lagi peralatan daripada kemuliaan Jawa:-
# Dua gong [ Kecil & Besar ]

Maka, pabila diragamkan kesemuanya telah menjadi sembilan perkara, dinamakan naubat. Perkataan 'nau' berakar kata Sanskrit dan Parsi, beerti sembilan. Dendangan naubat dikatakan bermula sewaktu Maharaja Derbar Raja @ Merong Mahawangsa membuka Kota Langkasuka. Menjadi adat ianya bergema ketika ada sambutan diraja atau kematian.

Naubat ketika itu dimainkan di perkarangan Balai Penghadapan menjadikan dendangan itu didengari oleh masyarakat tentang hal-hal rasmi diraja. Zaman silih berganti, 9 Maharaja sudah berlalu pergi. Maka ditakdirkan kepada Raja Phra Ong Mahawangsa @ Sri Paduka Maharaja Derbar Raja akan suka dan kagum dengan Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairi.

Di Balai Rong Seri Diraja Kedah, disaksikan para seisi istana akan lafaz kalimah Syahadah oleh Sri Paduka Maharaja Derbar Raja didepan Syeikh Abdullah Al-Qumairi pada 531 H / 1136 M di Kota Bukit Meriam. Selang 5 tahun keislaman Duli Baginda, telah bertitah kepada Syeikh Abdullah Al-Qumairi untuk menukar nama baginda dan nama negeri. Maka, dijunjung titah raja oleh ulama tersebut dengan mendirikan solat dua raakat. Seusai solat, lalu mengadap kepada Duli Baginda seraya berkata; "Daulat Tuanku Zillullah Fil Alam Al-Sultan Al-Mudzaffar Shah ", lalu disambungnya lagi; "Subhanahu Wa Ta'ala, Sultan dan Negeri Kedah Darul Aman ini turun menurun sampai kepada anak cucu cicit. Sultan berkekalan di atas takhta kerajaan selama-lamanya".

Sekalian seisi istana mengatakan "Amiinn", maka bergemalah dengan gemuruh Naubat Nipiri dan Gong Pengerah di Balai Rong Seri sehingga didengari oleh rakyat kota tanda kesukaan seisi negeri. Syahadan , mengadap sekali lagi Syeikh Abdullah menyembah kata pendapat kepada Duli Baginda, agar diperletakkan hukum kepada Kalau Naubat akan peringatan waktu solat dan hari kemuliaan melalui paluan naubat. Sejak itulah, naubat akan dipalu menandakan masuknya waktu solat.

Sewaktu pembukaan Kota Setar oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah ll, telah dibina satu menara berhadapan Balai Besar untuk mengangkat martabat regalia diraja ini lalu dipanggil dengan nama, Balai Nobat. Melalui cacatan lain, pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah membaiki menara atap setinggi 40 kaki serta bumbung atap Masjid Negeri yang dibina oleh moyanganda Duli Baginda, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah l. Kini, tapak masjid itu didirikan bangunan Mahkamah Tinggi.

Zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, telah berlaku pengubahsuaian dan penyelenggaraan bangunan secara besar-besaran di dalam Kompleks Istana Kota Setar. Maka, ditukarkan Balai Nobat dengan binaan batu setinggi 4 tingkat mengantikan Balai Nobat yang lama. Disebabkan Balai Nobat yang lama telah berjasa berabad lamanya, ia telah dihadiahkan kepada Madrasah Tok Janggut di Langgar.

Memasuki Era Pemerintahan Sultan Badlishah dan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, pihak istana terpaksa mengorbankan beberapa bangunan untuk memberi laluan kepada pembangunan dan infrastruktur dalam Bandar Alor Setar. Diantaranya ialah:-

1) Istana Tengah, Kompleks Istana Kota Setar
Tapak istana ini diberi atau dijual kepada kerajaan pusat untuk pembinaan Bangunan Wisma Persekutuan. Gerbang pintu istana ini telah dibangunkan sebagai replika bersebelahan dengan Balai Nobat.

2) Menara Pencaka Diraja, Kompleks Istana Kota Setar.
Tapak menara ini berada dibelakang Balai Besar merujuk kepada beberapa gambar Majlis Istiadat Pensohoran Diraja yang dibuat secara besar-besaran oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

3) Istana Tunku Yaakob, Kompleks Istana Kota Setar.
Tapak istana ini telah di dirikan Plaza Tunku Yaakob sebelum dirobohkan dan dibangunkan Aman Central.

4) Istana Sepachendera, Kompleks Istana Kota Setar.
Istana ini telah dijadikan Sek. Ren. Sultan Abdul Halim (Bekas Sek. Perempuan Sultanah Asma). Namun, selepas sekolah tersebut pindah ke tempat baru, dikatakan pernah menjadi bangunan sementara oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kota Setar. Istana ini masih wujud namun ia tak ubah seperti 'Bom Jangka'. Bila-bila masa akan rebah ke bumi.
[ Catatan: Istana ini juga digelar sebagai Istana Kampung Bharu, dimana bersemayam nya Sultan Abdul Hamid Halim Shah ]

6) Istana Bakar Bata, Jalan Stadium.
Tapak istana ini telah dijadikan sebagai Stadium Darul Aman. Ia telah diruntuhkan selepas Perang Dunia Ke-2. Pernah menjadi kediaman rasmi oleh Presiden British Kedah, Sir W.G. Maxwell.

7) Kota Akar Peluru, Jalan Sultan Abdul Halim.
Tapak kota ini telah dibangunkan penempatan untuk penduduk sekitar.

Balai Nobat ini juga tidak terkecuali daripada beberapa kisah misteri, antaranya ialah kedengaran paluan naubat dalam menara ini sedangkan ia sudah tidak digunakan lagi semenjak pemerintahan Sultan Abdul Halim. Beberapa istana yang masih kekal sehingga sekarang ialah:-
- Istana Pelamin
- Istana Pemangku Raja
- Istana Kuning
- Istana Tiga Tingkat

Jadi, begitulah pengakhiran tentang tiga mercu tanda Negeri Kedah yang dapat ku kongsikan. Sebuah kompleks istana yang menempatkan beberapa singgahsana kerabat diraja, kini hanyalah monumen bisu tanpa penceritaan yang sebenarnya. Penceritaan tentang Balai Nobat ini juga terkena tempiasnya apabila beberapa pihak cuba menokok tambah kononnya Balai Nobat ini pernah rentung.

Pelestarian khazanah negara khususnya Negeri Kedah bukan dipikul oleh pihak kerajaan semata-mata. Ianya adalah tanggungjawab kita sebagai generasi yang memegang sejarah tamadun kita sendiri. Buanglah sikap "TIDAK PEDULI" itu untuk anak bangsa yang akan datang. Disebabkan masyarakat sudah hilang peka terhadap fakta sejarah, ada beberapa pihak telah menggunakan kesempatan itu untuk kepentingan diri sendiri.

Maka, ini nasihat ku kepada para pelajar sekolah dan pelajar IPT, ambil tahu tentang sejarah kita, buat perbandingan antara beberapa catatan yang ada. Tak rugi pun kalau tambah pengetahuan kita. Sekian daripada diriku.

Nota:- Inilah realiti bagi para pengkaji yang bergerak solo mahupun berkumpulan. Stigma masyarakat masih ditakuk lama. Salahkan kerajaan, kenapa sekarang? Kenapa kita hari ini baru nak belek balik 7 Wasiat Raja-Raja Melayu, baru nak terkial-kial buka sejarah purba, baru nak ambil tahu sejarah penjajahan Jepun?

Kenapa bukan dari dulu lagi sepatutnya kita belajar dan mencari fakta sejarah kita? Sebab masyarakat sendiri menganggap mereka adalah "Anak Emas" kepada tanah ini disebabkan ia termaktub dalam perlembagaan. 

Terasa? Lagi kecil hati kalau didengari para pejuang dahulu yang sudah gadaikan nyawa tuk pertahankan tanah pertiwi ini daripada musuh. Inilah pahit sejarah yang kita kena telan, iaitu sejarah Melayu sedang DIBUNUH oleh bangsanya sendiri. Maka, telanlah kenyataan ini!

"JANGAN ENGKAU MENJUNJUNG MADU YANG LALU, SEDANGKAN IA ADA HAMPASNYA"

Selasa, 9 April 2019

Masjid Zahir : Keindahan Disebalik Luka Lama

Alang-alang hari ini semangat dah terlajak, maka cuba juga untuk aku menaip walaupun masih cetek pengetahuan tentang Sejarah Kedah. Biasalah, baru setahun jagung dalam bidang ini. Apapun, kini ditengah Kota Setar ada satu bangunan yang menjadi ikon atau mercu tanda Negeri Kedah iaitu Masjid Zahir. Tetapi, ada beberapa kawan sejarah aku yang sudi berkongsi maklumat buat tatapan umum. Dan, perkongsian itu agak mengejutkan sebab aku tak tahu tentang pembinaan masjid tersebut ada tersembunyi satu peristiwa duka yang tidak dapat dilupakan.

Masjid Zahir telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, diketuai oleh anakandanya, Tengku Mahmud pada tahun 1913. Pelan Masjid Zahir telah dilakarkan oleh Tuan G. Guman, State Engineer atas titah Tengku Mahmud. Namun, ada satu peristiwa yang membuatkan kerja pembinaan masjid tersebut agak lewat.

Tapak Masjid Zahir sebenarnya adalah bekas tanah perkuburan para pejuang syahid Perang Musuh Bisik 1825. Dikatakan, tapak ini menjadi satu tanah perkuburan yang agak luas, menyimpan ratusan jasad para pejuang yang terkorban sewaktu perang itu terjadi. Maka, para pekerja mula memindahkan kubur-kubur pejuang itu ke Alor Merah dan juga Akar Peluru.

Usia tanah perkuburan itu menjangkau 88 tahun menyebabkan banyak lagi kubur-kubur yang bernirai-nirai di perkarangan masjid hingga ke tebing sungai tanpa nisan tidak dapat dipindahkan. Ada beberapa kelompok kuburan para pejuang tersebut telah dikesan disekitar Kota Setar seperti di kawasan Mahkamah Rendah bersebelahan dengan Sungai Kedah [ Terusan Wan Mad Saman ], di Tanjung Bendahara, kawasan perkuburan besar, di Alor Kanchut, yang telah menempatkan jasad Sri Paduka Raja Laksamana bersama para pejuang yang lain, di kawasan Derga dan di kawasan Anak Bukit [ Sewaktu hendak dibina kilang padi ].

Rentetan itu, telah dikesan lagi ratusan kubur pejuang syahid di Limbong dan juga Langgar; ditandai dengan nisan-nisan cantik yang berselerak. Ada juga ratusan yang lain ditandai dengan batu-batu kerikil. Juga, beberapa lagi di sekitar kawasan Alor Ganu, Kota Naga, Kuala Kedah, Kalai, Bukit Wang, kampung Pulau Pisang, dan Perlis serta Setol. Subhanallah, tak terkira dengan ribuan para pejuang Kedah yang syahid mempertahankan kedaulatan tanah ini.

Pembinaan Masjid Zahir dianggarkan mengambil masa 2 - 3 tahun. Pada 15 Oktober 1915, disaksikan oleh penghulu hari yakni; hari Jumaat, dimulai buka untuk rakyat Kedah. Apabila ketika itu telah memasuki waktu Zohor, Haji Wan Ismail telah kumandangkan azan, menandakan Solat Jumaat akan bermula. Lalu, Tengku Mahmud pun berangkat naik di atas mimbar, membaca khutbah dengan jelas. Selesai dua khutbah itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah berdiri menjadi Imam Solat Jumaat.

Begitulah kisah serba sedikit tentang Masjid Zahir Kota Setar. Walau Bagaimanapun, aku agak terkilan kepada ribuan pejuang yang syahid dalam Perang Musuh Bisik. Dsini, aku boleh rungkaikan beberapa fakta yang berkait rapat dengan jelajah ekskavasi pada bulan lepas. Mungkin terjawablah nama pemilik makam nisan Aceh di kawasan Tugu Peringatan Jepun. Siri Perang Musuh Bisik telah disambut oleh beberapa panglima, para ulama, dan laksamana untuk turut serta dalam perjuangan.

Antaranya ialah :-
- Panglima Hitam
- Tok Serban Hijau
- Tok Tungkat
- Tok Janggut
- Keramat Anak Dara
- Tok Amar
- Tok Raja
- Tok Jambi
- Tok Pasai
- Tok Siak
- Tok Kemboja
- Syeikh Mas'ud

Beberapa pucuk meriam pertahanan Kota Setar yang berjasa menghiasi perkarangan Masjid Zahir, menjadi kesan peninggalan kepada tapak atau medan pertarungan antara Islam dengan bukan Islam lebih 200 tahun dahulu. Moga Allah s.w.t meletakkan para syuhada Kedah di bawah lembayung Ar-Rahman dan diberkati oleh-Nya. Salam Takziah, Al - Fatihah.

Nota:- Awalnya aku agak terkejut dengan perkongsian dari kawan tentang penemuan ratusan kubur syuhada Kedah disekitar ceruk daerah negeri ini. Tetapi, ingatlah wahai masyarakat terutamanya rakyat Kedah, sekarang ada pihak yang cuba untuk memadamkan fakta-fakta sebegini supaya nanti kita takkan tertanya-tanya tentang rentetan sejarah hitam tersebut. Dan juga, berhati-hati dengan beberapa maklumat sejarah yang telah diubah suai serta ditokok tambah atas dasar kepentingan individu tersebut.

Kalau sekarang kita masih lagi BUTA SEJARAH, usah menyesal di masa hadapan kelak ianya tidak akan kedengaran. Janganlah menyesal kalau Geng Chola iktiraf Melaka dan Lembah Bujang. Sekian.

Ceritera Kota Setar Al-Awwal

Malam ini aku akan cerita sikit tentang seorang sultan yang telah membuka Kota Setar dan bersemayam di Balai Besar yang kini masih lagi tersergam indah dihadapan Masjid Zahir bersaksikan Balai Nobat. Mungkin hampa akan penat baca artikel ini sebab panjang aku menaipnya. Sultan yang akan ku ceritakan ialah; Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II, Sultan Kedah Ke-19 yang menaiki takhta Kerajaan Kedah selepas pulang daripada pengembaraan menuntut ilmu agama.

Nama penuh beserta gelaran baginda adalah; Al-Azizul Mulk Al-Qadir Al-Ghalib Ghahral Maglubus-Sultan Khalifatullah ‘Ala Da’irah Kedah, Paduka Sri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II Khalifatul Rahman Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Mu’adzam Shah. Waktu zaman pemerintahan ayahanda beliau yakni Sultan Abdullah Mu’adzam Shah, Tengku Muhammad Jiwa telah minta izin perkenan untuk mengembara sambil melihat dunia luar. Setelah berpikiran, ayahandanya beri izin kepada Tengku Muhammad Jiwa. Dikatakan Tengku Muhammad Jiwa keluar dari istana tanpa pengetahuan seisi nya.

Pengembaraan Tengku Muhammad Jiwa telah singgah ke Negeri Jambi, hingga masuk ke Palembang. Tak beberapa lama, Tengku Muhammad Jiwa pun berguru dengan seorang pendita daripada bangsa Arab, namanya Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahab bin Tuan Syeikh Ahmad Al-Mahdani, Yaman, Bandar San’a; mengaji bab hukum agama. Berada di Palembang selama 6 bulan dan selepas itu Tuan Syeikh Abdul Jalil pun belayar ke Tanah Jawa diikuti dengan Tengku Muhammad Jiwa. Seterusnya, mereka belayar pula ke India. Tengku Muhammad Jiwa pun tiada berenggang dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil. Dalam perjalanan ke negeri-negeri India, berjumpa pula seorang India menjadi anak murid kepada Tuan Syeikh, namanya Hapiz Sab.
Makam Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani dengan anaknya Syeikh Abdullah Khir.

Beberapa lama Tengku Muhammad Jiwa berada disamping Tuan Syeikh, tidaklah ragu sikit pun akan status anak muridnya itu. Di Tanah Kedah dalam istana, Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah mulai sugul, risaukan anakandanya yang keluar mengembara terlalu lama sehingga gering dibuatnya. Hayat baginda tidak lama, mangkatlah Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah lalu dimakamkan di Kota Langgar sebagai Almarhum Bukit Pinang II.
[ Selepas kota pemakaman diraja ini siap dibina oleh Tengku Ibrahim Raja Limbong, Almarhum adalah yang pertama dimakamkan dalam kota tersebut ]

Disebabkan Tengku Muhammad Jiwa masih belum balik ke Kedah, maka ditabalkan adindanya; Tengku Ahmad Tajuddin menjadi pengganti takhta sultan. Nak dipendekkan kisah, Sultan Ahmad Tajuddin kegeringan lalu mangkat di Kota Bukit Pinang dan dimakamkan berdekatan dengan makam ayahandanya. Disebabkan Sultan Ahmad Tajuddin tidak mempunyai putera, jadi bermuafakatlah para menteri lalu bersetuju untuk berpecah mencari Tengku Muhammad Jiwa agar dapat dibawa balik ke Kedah dengan segera.

Akhirnya, pertemuan diantara para penggawa dengan Bakalan Sultan dimakbulkan oleh Yang Maha Kuasa, di Pelabuhan Margui. Maka, para penggawa pun bawalah pulang Bakalan Sultan ke Kedah lalu ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-19 di Balai Penghadapan, Istana Bukit Pinang. Selepas pertabalan selesai maka diangkatlah dari Duli Baginda, gurunya sendiri yakni, Tuan Syeikh Abdul Jalil menjawat jawatan Dato’ Seraja Mufti manakala Hapiz Sab pula berjawatan sebagai Dato’ Maharaja Kadi.

Anakanda baginda pula, Tengku Long Putera diangkat sebagai Raja Tanah manakala adindanya Tengku Anjang diangkat sebagai Raja Laut. Kegemilangan di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa agak diluar jangkaan. Bayangkan, beberapa kawasan telah ditawan oleh Tengku Anjang, mengambil negeri Tongka, Terang, Kupah dan Randung hingga ke Mergui, Burma menjadikan kawasan pemerintahan Kesultanan Kedah ketika itu adalah yang paling luas ditadbir oleh Duli Baginda.

Dalam waktu yang sama, Balai Besar @ Istana Kota Setar dibina dan beberapa anak sungai dikorek bagi memudahkan pengangkutan. Setelah siap istana tersebut, maka berpindahlah seisi istana dari Istana Bukit Pinang ke Balai Besar. Dititahkan oleh Duli Baginda untuk dibuatkan binaan istana di Anak Bukit. Dikatakan Sultan Muhammad Jiwa memerintah Negeri Kedah Darul Aman selama 50-60 tahun anggarannya, menyamai pemerintahan zaman Sultan Abdul Hamid dan juga zaman Almarhum Sultan Abdul Halim; yakni tempoh pemerintahan paling lama dalam Kesultanan Kedah. Ketika itu juga diwujudkan sistem sukatan tanah dan juga sistem kewangan bagi barang dagangan yakni; Undang-Undang Kedah yang telah disusun syarat-syaratnya oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil kepada Duli Baginda.

Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II mangkat di Balai Besar selepas gering beberapa bulan dan dimakamkan di Kompleks Makam Diraja Langgar, Alor Setar dan digelar sebagai Almarhum Kota Setar Al-Awwal. Ada satu kisah dari penjaga makam tersebut mengatakan nisan makam Sultan Muhammad Jiwa menjadi rongga-rongga seperti batu laterit sedangkan makam tersebut dibawah teduhan kubah konkrit. Makam isteri almarhum, Paduka Bonda Che Nang Puan terletak berdekatan dengan makam almarhum.




Maka, begitulah cerita serba sedikit tentang Almarhum. Namun, dahulu ada pertikaian tentang lokasi makam almarhum sama ada di Langgar ataupun Anak Bukit setelah ditemui dua makam disana. Tetapi, kebanyakkan nya mengatakan lokasi sebenar adalah dalam Kompleks Makam Diraja Langgar. Kesultanan Kedah telah menunjukkan keupayaan mentadbir Kedah dan juga kawasan jajahan takluknya. Moga Allah merahmati setiap jerih perih almarhum untuk membangunkan Kota Setar. Al – Fatihah.

Nota:- Sungai yang dikorek pada zaman almarhum sewaktu pembinaan Kota Setar ialah Sungai Alor Semadom yang tembus ke Sungai Besar Pumpong dan satu cabang simpang lalu ikut Alor Kanchut, tembus ke Sungai Besar Pengkalan Badak @ Tambang Badak. Dan, korek satu simpang sungai ke Gedebang [ Derga ] tembus terus ke Geduk, Sungai Besar Pengkalan Kundur. Disini, boleh dianggarkan betapa besarnya Kompleks Istana Kota Setar pada awalnya. Namun, pembangunan di Kota Setar kini telah mengorbankan beberapa istana di sekitarnya.😔
#kotasetar #kesultanankedah #sultanmuhammadjiwa #balaibesar#balainobat

Ahad, 31 Mac 2019

Sungai Batu : Tanah Maritim Purbakala

Ok, hari ini hujan lebat di Alor Setar dan Langgar tetapi kampung aku cerah terik lagi walaupun nak masuk petang. Seperti yang aku katakan semalam, hari ini adalah hari terakhir ekskavasi dalam kembara kali ini. Artikel ini mungkin panjang namun dapatlah aku rungkai sedikit dengan pengetahuan yang agak cetek. Motor aku hari ini melencong ke Merbok dan seterusnya ke Tapak Arkeologi Sungai Batu.

Sungai Batu adalah salah satu kawasan purba yang wujud sekitar abad ke-2 dan menjadikan pemukiman purba ini berusia hampir 2500 tahun dahulu. Wow, lamanya! Mula-mula dapat tahu agak terkejutlah aku. Mana tak terkejut, Negeri Kedah mempunyai satu kawasan purba yang seusia dengan tamadun-tamadun dunia malah lebih lama daripada itu. Sebenarnya, dia ada abang purba lagi iaitu Tapak Arkeologi Lembah Bujang. Nanti aku cerita satu persatu. Apa kaitan dengan Kedah?

Pelabuhan Kedah Tua terletak di antara perairan Kota Kuala Muda hingga ke muara sungai Merbok. Ok, sebenarnya ada perbezaan abad diantara Lembah Bujang dengan Sungai Batu. Mengikut beberapa kajian dari Pusat Kajian Arkeologi USM, Sungai Batu adalah paling tua dalam adab ke-2 berbanding Lembah Bujang sekitar abad ke-5. Semasa tengok tapak ekskavasi tadi, agak pelik melihat candi nya yang disusun bulat! Berbeza di Lembah Bujang yang disusun petak. Bagaimana orang dulu mengukur bulat itu dengan tepat dan cantik? Tak hairan ke?


Petak tuh boleh lah buat susun bata leper tapi ini bulat dan susunannya elok serta bersimetri. Ok, yang paling mengejutkan ada lagi tapak ekskavasi yang dijumpai dan disahkan adalah tapak relau untuk peleburan besi pada abad ke-3 hingga abad ke-6. Fuh, ini bermakna Kedah Tua adalah pengeksport besi terawal di dunia! I can't believed it! Namun, ada banyak persoalan. Mengapa candi di Sungai Batu tak setanding dengan Candi Borobudur dan Candi Angkor Wat? Kerana peradaban yang berbeza. Dibawah adalah cataran masa :-

Candi Lembah Bujang ( Malaysia )
= 500 ke 600 Masihi

Candi Borobudur ( Indonesia )
= 750 ke 850 Masihi

Candi Angkor Wat ( Kemboja )
= 1100 - 1200 Masihi

Sebenarnya, tapak ekskavasi amatlah luas. Ia bermula sekitar Kota Kuala Muda, kg Sg Mas, Lembah Bujang, Sungai Batu, Kg Sirih ke kawasan Jeniang. Dianggarkan 200 tapak arkeologi namun baru di kaji lebih kurang 70-80 tapak. Bujang dalam bahasa Sanskrit, "Bujangga" bermaksud ular atau naga yang melambangkan kemakmuran sesuatu tempat. Pelabuhan Kedah Tua adalah paling sibuk di Utara Tanah Semenanjung dan menjadi pusat perdagangan Utama Jalan Sutera Timur - Barat kerana Gunung Jerai menjadi mercu tanda pada pedagang ini singgah di pelabuhan tersebut.






Di Bukit Meriam, Kota Kuala Muda terdapat Makam Sultan Mudzaffar Shah, Sultan Kedah Pertama tapi tak sempat nak ziarah kerana hari sudah lewat. Bermakna, tapak ini ada berkait rapat dengan Keturunan Kerajaan Merong Mahawangsa. Raja Phra Ong Mahawangsa @ Seri Paduka Maharaja Derbar Raja di Islamkan oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairi pada 531 H/1136 M yang digelar Sultan Al-Mudzaffar Shah l, Sultan Kedah Pertama. Kiranya satu zaman dengan Sungai Batu dan Lembah Bujang.

Akuilah, masyarakat Melayu purba ketika itu sudah mencapai tahap keilmuan dan teknologi yang jauh lebih tinggi yang pernah kita jangkakan. Maka, terbuktilah Tamadun Melayu Purba di sini bukan satu tamadun di era zaman batu yang hidup digua semata-mata malah sudah mencapai tahap perdagangan dan pengeksport besi di benua nusantara. Maka, lupakan lah momokan British yang mengatakan Tamadun Melayu ini tidak pandai buat senjata api sedangkan mereka rampas segala-galanya agar Tamadun Melayu Nusantara ini seperti ketinggalan beberapa zaman.

Maka, berakhirlah pengembaraan aku hari ini. Seronok bila melihat bukti peradaban Tamadun Kedah Tua dengan mata sendiri. Saya menyeru kepada masyarakat seperti guru-guru, pelajar IPT, kariah masjid dan komuniti setempat datanglah melawat ke tempat ini untuk pengemaskinian pengetahun fakta sejarah yang telah dikemaskini dan akan diedit dari semasa ke semasa. Insya-Allah, akan kembali berekskavasi di sekitar Pulau Pinang dan Kota Kuala Muda dengan penemuan-penemuan yang akan membuka mata kita.


Nota: - Bila melihat batu leper di Sungai Batu agak berbeza di beberapa tempat yang telah aku ziarah dari segi warna, saiz dan susunan. Nak bagitahu, Tamadun Melayu adalah pengembara kapal terawal dalam dunia maritim, bukti pelayara membelah samudera di 7 lautan dan benua di pelosok dunia.

Jadi, inilah masanya untuk bangkitkan kisah ini di masyarakat kita. Jangan tunggu puak lain datang klaim , barulah terhegeh-hegeh nak bising itu ini sedangkan bila tanya geleng kepala. Jangan jadi bodoh tolol dengan sejarah kerana dari dulu sejarah inilah yang membuktikan kecerdikan leluhur kita.

Jumaat, 29 Mac 2019

Alor Kanchut : Belukar Silam

Tergerak hati nak datang menebas serba sedikit bagi cerah mata memandang. Itupun sebab sahabat saya, Amri AO Al-Saadi datang dahulu dan postkan keadaan makam disini. Mula nak cari agak susah sebab dalam Bandar Kota Setar, semua bangunan bertingkat-tingkat. Agak tercari-cari lokasi makam ini. Rupanya, kata sahabat terletak ditepi tebing Sungai Alor Kanchut dalam Kg Pisang. Ikut sungai itu maka jumpalah makam ini dibawah rimbunan pokok dengan kemesraan semak bekukar. Maka, mulalah kerja-kerja tebasan sambil mencari nisan Aceh dibalik semak samun.

Makam ini telah ditafsir inskripsinya milik Paduka Seri Laksamana Maharaja Diraja oleh Shidi Omar Filfilan pada tahun 2018. Persekitaran makam amatlah luas kerana inilah sebahagian makam para pejuang Perang Musuh Bisik 1825 beserta makam kerabat raja. Hasil daripada percakapan seorang pakcik, di Pelabuhan Kuala Kedah ada lagi banyak namun disebabkan pembangunan maka kubur-kubur pejuang itu dihapuskan. Tinggal satu makam sahaja ditepi jalan bawah pokok iaitu Makam Tok Pasai.



Disebabkan kata pakcik itu ada satu lagi makam dalam semak seiras tinggi dengan makam laksamana Kedah, aku redah dengan senang hati dalam selawat ke atas nabi. Terjumpalah satu makam dengan ukiran batu yang cukup unik, sepersis nisan Aceh yang aku kaji. Namun inskripsinya tak sempat ku baca lagi.





Sempat juga bersembang dengan seorang lagi penduduk kampung, mengatakan ada makam 7 beradik terletak sederet ditepi sungai tapi malangnya satu kepok dah patah sebabkan jentolak lalu. Ada satu makam lagi aku tak usik bila tengok rimbunan semak mengalahkan busut anai-anai! Tak berani lah pula nak tebas risau dalam tuh takut siap 'panggung kembang' alamatnya Hospital Alor Setar lah jawabnya.

Menjelang Maghrib, singgah Masjid Zahir untuk beribadah dan rehatkan diri. Kecantikan Masjid Zahir mengingatkan kepada beberapa istana sekitar Kota Setar yang terpaksa dikorbankan untuk pembangunan dan komersial. Ok, jumpa lagi!

Nota: Dulu ada kerabat yang jaga makam ini tapi sudah meninggal dunia, sebab itulah agak bersemak. Namun, kemuliaan seorang pakcik ini yang nak membantu sehinggakan dia berhasrat jual tanah untuk ambil hasil itu nak perbaiki tanah makam ini. Seorang rakyat marhaen yang bukan dari kerabat diraja, hanya hamba Allah yang melakukan fardhu kifayah untuk manusia lain. Mengharapkan kerajaan tak memadai jikalau kita sebagai masyarakat tidak mengerah kudrat sendiri. Harap tiada yang datang cat pula, aku katok dengan parang satgi!
#laksamanakedah #Alorsetar #Perangmusuhbisik #kedahtua

Khamis, 28 Mac 2019

Tunku Anum : Kebijaksanaan Dalam Rundingan Damai

Sambungan daripada Bukit Tinggi, aku melusuri jalan ke Kg Pulau Pisang, Mukim Tunjang untuk menziarahi Makam Tengku Anum Paduka Raja Jambangan Kubang Pasu Al Qiyam. Mula-mula cari tak jumpa, akhirnya bertanya pada penduduk kampung. Rupanya, makam itu terletak sebelah rumah kenduri. Agak segan silu nak masuk, orang makan kenduri kita sibuk di makam. Tapi buat tak tahu lah! Janji tercapai objektif aku hari ini.


Tragedi 3 Januari 1825 adalah satu tragedi ngeri bagi rakyat Kedah terutama sekali kerabat diraja dan bangsawan Kedah. Perang Musuh Bisik yang tercetus akibat serang hendap oleh tentera Siam kononnya kedatangan mereka hendak mengambil beras di Kota Kuala Kedah. Dijarahnya sehingga licin tala! Ramai yang terkorban. Ketika kejadian, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah ll sedang bersemayam di Istana Pulau Tiga, Merbok. Pabila perkhabaran mengejut itu sampai ke telinga baginda, maka berangkatlah semua seisi istana ke Pulau Pinang. Tentera Siam pula datang melanggar Istana Pulau Tiga tetapi Sultan Kedah sudah tiada, maka runtuhlah Istana Pulau Tiga. Kesan runtuhan istana boleh tengok dalam kawasan Sungai Semeling.

Kedah cuba nak ambil balik namun gagal akibat kemaraan tentera Siam yang terlalu ramai. Jadi, Tengku Anum pun beri buah fikiran untuk ambil balik Kedah dengan cara halus dan tertib. Maka, berangkatlah Tengku Anum berjumpa Phya Sena Naucit anak Raja Lagor pinta izin untuk jadi hamba di Lagor dan diizin kan oleh ayahandanya, Chao Phya Nakorn Si Tammarat melalui sembah surat.

Dipendekkan, Chao Phya Naucit tak tahan jaga Negeri Kedah, makin bermasalah makin rugi perbelanjaan akibat asakan orang-orang Kedah yang berperang tak berenti siang dan malam. [ Nota: Sebelum berangkat ,Tengku Anum sudah maklumkan pada pegawai dan dato-dato agar kumpulkan orang untuk serang balik Chao Phya Naucit pabila Tengku Anum sampai di Lagor ]. Maka, Chao Phya Raja Lagor nak bagi balik Kedah tetapi Tengku Anum menolak, sebab lebih suka jadi hamba di Lagor. Bertambah kusut Raja Lagor selepas sampai lagi surat dari anaknya Chao Phya Naucit tentang kesusahan amat sangat nak ditanggung.



Akhirnya, Chao Phya Nakorn Si Tammarat memutuskan untuk serah balik Kedah kepada Tengku Anum dan tiada lagi termasuk dibawah perintah Siam, melainkan Tengku Anum mahu hantar bunga emas bunga perak tiap-tiap 3 tahun sekali mengikut adat lama yang telah diadatkan oleh raja-raja dahulu tanda kasih dan dan bersetiawan. Lalu, barulah Tengku Anum terima sebab sampai matlamat asalnya. Maka, fasa baru buat Kedah pabila dapat negeri sendiri dengan jajahan taklukan nya.

Apapun Al -Fatihah kepada para pejuang Perang Musuh Bisik 1825 yang terkorban iaitu:-
1) Raja Bendahara, Dato Wan Johan
2) Raja Laksamana, Wan Panji
3) Raja Menahara, Wan Sidik
4) Tengku Long Putih
5) Tuan Syed Alwi
6) Tengku Syed Zainal Abidin Shahabuddin [ Gelaran Tengku Ku Din ]
7) Tengku Muhammad Saad
8 ) Tuan Syeikh Abdul Samad Al Falimbani
9) Tengku Yaakob@Embom
10) Tengku Sulaiman

Inilah ringkasan serba sedikit tentang Perang Musuh Bisik yang aku boleh rungkaikan. Kebijaksanaan dan kesabaran Tengku Anum amatlah dipuji atas kesungguhan beliau mendapatkan kembali Kedah Darul Aman. Jadi, selesai di Kampung Pulau Pisang singgah ke Alor Setar sambil makan angin malam sebelum ribut hujan lebat bertandang. Ok, tunggu next ekskavasi lagi.

Nota: Orang kampung pelik aku duk belek batu makam tuh, last-last tuan umah panggil makan kenduri sebelah pagar makan. Memang bedal lah. Lupa nak bagitahu, jangan salah nama dengan Tengku Ku Din dengan Tengku Kudin Kelang, nanti refer balik post aku sebelum ini.
#perangmusuhbisik #kedah #siam

Istana 'Raja Bersiong' : Kecelaruan Fakta

Aku mulakan ekspedisi purba di Bukit Tinggi, Bukit Pinang yang diperkatakan ada satu kediaman Istana 'Raja Bersiong'. Panas terik tak menganggu gugat kerja aku.

Maka, sampailah satu runtuhan binaan istana bagi aku ianya unik. Senibinanya agak klasik dengan susunan bata leper yang membentuk arc atau gerbang lengkuk namun banyak pengikat setiap pintu sudah dirembat dek penduduk kampung.


Disini nak buat percerahan fakta kembali. Mengapa dipanggil 'Raja Bersiong' ? Sebab terpengaruh dengan beberapa netizen yang cerdik pandai mengatakan istana ini miliknya. Ok, untuk senibina istana, tak kira istana rasmi atau istana singgah, mesti ada satu balai kecil sebagai balai penghadapan disebabkan berstatus raja/sultan.

Baiklah, kenapa istana ini milik Tengku Kudin Kelang? Tunku Kudin Kelang adalah Raja Muda dan kekandanya, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pemerintah Negeri Kedah ketika itu. Kedua-duanya adalah anak kepada Almarhum Sultan Zainal Rashid Mua'dzam Shah l. Nama penuh Tengku Kudin Kelang adalah YTM Tengku Dhiauddin ibni al-Marhum Sultan Zainal Rashid Mua'dzam Shah l.






Maka, terjadi satu krisis pergaduhan besar di Selangor sebab dikacau oleh Raja Mahdi, anak saudara Sultan Abdul Samad. Dipendekkan kisah, Tengku Dhiauddin ini adalah menantu Sultan Selangor, jadi masuk campurlah Tengku Dhiauddin tersebut. Malangnya, masuk campur Raja Muda itu diketahui oleh kekandanya, Sultan Tajuddin. Murkalah kekandanya lalu secara tidak langsung baginda pecat Tengku Dhiauddin sebagai Raja Muda dan digantikan oleh Tengku Yaakob. Geram itu teramat sangat sehinggakan pangkat 'Tengku' pun dibatalkan.

Namun, apa kaitan dengan 'Raja Bersiong'? Tiada, sebab istana ini terletak dalam Mukim Bukit Pinang. 'Raja Bersiong' atau Phra Ong Maha Derita Peria bersemayam di Kota Aur, sekitar kawasan Sungai Muda. Dan, Phra Ong Maha Derita Peria adalah dari 7 keturunan Merong Mahawangsa. Nama lain bagi 'Raja Bersiong' adalah Seri Maharaja Karma Diraja.

Dua individu yang berlainan abad, masakan diletakkan dalam satu tempat? Antara abad ke-7@8 dengan abad ke-18, lari 1000 tahun kot! Apapun, ini sebahagian info yang boleh aku rungkaikan. Ianya masih dalam kajian lagi. Baiklah, akan sambung kisah ke Utara Kedah pula.

Nota:- Rasanya dah berpuluh kalikan suruh ubah tapak buang sampah tuh. Ke pekak? Oh lupa, itu tembok saja bukan istana megah pun. Perangai manusia yang tak pernah berubah. Bila tegur sikit dah melantun. Ok Bye.
#hikayat #kedahtua #faktabukanauta #akaljanganperam