Selasa, 9 April 2019

Masjid Zahir : Keindahan Disebalik Luka Lama

Alang-alang hari ini semangat dah terlajak, maka cuba juga untuk aku menaip walaupun masih cetek pengetahuan tentang Sejarah Kedah. Biasalah, baru setahun jagung dalam bidang ini. Apapun, kini ditengah Kota Setar ada satu bangunan yang menjadi ikon atau mercu tanda Negeri Kedah iaitu Masjid Zahir. Tetapi, ada beberapa kawan sejarah aku yang sudi berkongsi maklumat buat tatapan umum. Dan, perkongsian itu agak mengejutkan sebab aku tak tahu tentang pembinaan masjid tersebut ada tersembunyi satu peristiwa duka yang tidak dapat dilupakan.

Masjid Zahir telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, diketuai oleh anakandanya, Tengku Mahmud pada tahun 1913. Pelan Masjid Zahir telah dilakarkan oleh Tuan G. Guman, State Engineer atas titah Tengku Mahmud. Namun, ada satu peristiwa yang membuatkan kerja pembinaan masjid tersebut agak lewat.

Tapak Masjid Zahir sebenarnya adalah bekas tanah perkuburan para pejuang syahid Perang Musuh Bisik 1825. Dikatakan, tapak ini menjadi satu tanah perkuburan yang agak luas, menyimpan ratusan jasad para pejuang yang terkorban sewaktu perang itu terjadi. Maka, para pekerja mula memindahkan kubur-kubur pejuang itu ke Alor Merah dan juga Akar Peluru.

Usia tanah perkuburan itu menjangkau 88 tahun menyebabkan banyak lagi kubur-kubur yang bernirai-nirai di perkarangan masjid hingga ke tebing sungai tanpa nisan tidak dapat dipindahkan. Ada beberapa kelompok kuburan para pejuang tersebut telah dikesan disekitar Kota Setar seperti di kawasan Mahkamah Rendah bersebelahan dengan Sungai Kedah [ Terusan Wan Mad Saman ], di Tanjung Bendahara, kawasan perkuburan besar, di Alor Kanchut, yang telah menempatkan jasad Sri Paduka Raja Laksamana bersama para pejuang yang lain, di kawasan Derga dan di kawasan Anak Bukit [ Sewaktu hendak dibina kilang padi ].

Rentetan itu, telah dikesan lagi ratusan kubur pejuang syahid di Limbong dan juga Langgar; ditandai dengan nisan-nisan cantik yang berselerak. Ada juga ratusan yang lain ditandai dengan batu-batu kerikil. Juga, beberapa lagi di sekitar kawasan Alor Ganu, Kota Naga, Kuala Kedah, Kalai, Bukit Wang, kampung Pulau Pisang, dan Perlis serta Setol. Subhanallah, tak terkira dengan ribuan para pejuang Kedah yang syahid mempertahankan kedaulatan tanah ini.

Pembinaan Masjid Zahir dianggarkan mengambil masa 2 - 3 tahun. Pada 15 Oktober 1915, disaksikan oleh penghulu hari yakni; hari Jumaat, dimulai buka untuk rakyat Kedah. Apabila ketika itu telah memasuki waktu Zohor, Haji Wan Ismail telah kumandangkan azan, menandakan Solat Jumaat akan bermula. Lalu, Tengku Mahmud pun berangkat naik di atas mimbar, membaca khutbah dengan jelas. Selesai dua khutbah itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah berdiri menjadi Imam Solat Jumaat.

Begitulah kisah serba sedikit tentang Masjid Zahir Kota Setar. Walau Bagaimanapun, aku agak terkilan kepada ribuan pejuang yang syahid dalam Perang Musuh Bisik. Dsini, aku boleh rungkaikan beberapa fakta yang berkait rapat dengan jelajah ekskavasi pada bulan lepas. Mungkin terjawablah nama pemilik makam nisan Aceh di kawasan Tugu Peringatan Jepun. Siri Perang Musuh Bisik telah disambut oleh beberapa panglima, para ulama, dan laksamana untuk turut serta dalam perjuangan.

Antaranya ialah :-
- Panglima Hitam
- Tok Serban Hijau
- Tok Tungkat
- Tok Janggut
- Keramat Anak Dara
- Tok Amar
- Tok Raja
- Tok Jambi
- Tok Pasai
- Tok Siak
- Tok Kemboja
- Syeikh Mas'ud

Beberapa pucuk meriam pertahanan Kota Setar yang berjasa menghiasi perkarangan Masjid Zahir, menjadi kesan peninggalan kepada tapak atau medan pertarungan antara Islam dengan bukan Islam lebih 200 tahun dahulu. Moga Allah s.w.t meletakkan para syuhada Kedah di bawah lembayung Ar-Rahman dan diberkati oleh-Nya. Salam Takziah, Al - Fatihah.

Nota:- Awalnya aku agak terkejut dengan perkongsian dari kawan tentang penemuan ratusan kubur syuhada Kedah disekitar ceruk daerah negeri ini. Tetapi, ingatlah wahai masyarakat terutamanya rakyat Kedah, sekarang ada pihak yang cuba untuk memadamkan fakta-fakta sebegini supaya nanti kita takkan tertanya-tanya tentang rentetan sejarah hitam tersebut. Dan juga, berhati-hati dengan beberapa maklumat sejarah yang telah diubah suai serta ditokok tambah atas dasar kepentingan individu tersebut.

Kalau sekarang kita masih lagi BUTA SEJARAH, usah menyesal di masa hadapan kelak ianya tidak akan kedengaran. Janganlah menyesal kalau Geng Chola iktiraf Melaka dan Lembah Bujang. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan