Selasa, 9 April 2019

Ceritera Kota Setar Al-Awwal

Malam ini aku akan cerita sikit tentang seorang sultan yang telah membuka Kota Setar dan bersemayam di Balai Besar yang kini masih lagi tersergam indah dihadapan Masjid Zahir bersaksikan Balai Nobat. Mungkin hampa akan penat baca artikel ini sebab panjang aku menaipnya. Sultan yang akan ku ceritakan ialah; Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II, Sultan Kedah Ke-19 yang menaiki takhta Kerajaan Kedah selepas pulang daripada pengembaraan menuntut ilmu agama.

Nama penuh beserta gelaran baginda adalah; Al-Azizul Mulk Al-Qadir Al-Ghalib Ghahral Maglubus-Sultan Khalifatullah ‘Ala Da’irah Kedah, Paduka Sri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II Khalifatul Rahman Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Mu’adzam Shah. Waktu zaman pemerintahan ayahanda beliau yakni Sultan Abdullah Mu’adzam Shah, Tengku Muhammad Jiwa telah minta izin perkenan untuk mengembara sambil melihat dunia luar. Setelah berpikiran, ayahandanya beri izin kepada Tengku Muhammad Jiwa. Dikatakan Tengku Muhammad Jiwa keluar dari istana tanpa pengetahuan seisi nya.

Pengembaraan Tengku Muhammad Jiwa telah singgah ke Negeri Jambi, hingga masuk ke Palembang. Tak beberapa lama, Tengku Muhammad Jiwa pun berguru dengan seorang pendita daripada bangsa Arab, namanya Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahab bin Tuan Syeikh Ahmad Al-Mahdani, Yaman, Bandar San’a; mengaji bab hukum agama. Berada di Palembang selama 6 bulan dan selepas itu Tuan Syeikh Abdul Jalil pun belayar ke Tanah Jawa diikuti dengan Tengku Muhammad Jiwa. Seterusnya, mereka belayar pula ke India. Tengku Muhammad Jiwa pun tiada berenggang dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil. Dalam perjalanan ke negeri-negeri India, berjumpa pula seorang India menjadi anak murid kepada Tuan Syeikh, namanya Hapiz Sab.
Makam Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani dengan anaknya Syeikh Abdullah Khir.

Beberapa lama Tengku Muhammad Jiwa berada disamping Tuan Syeikh, tidaklah ragu sikit pun akan status anak muridnya itu. Di Tanah Kedah dalam istana, Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah mulai sugul, risaukan anakandanya yang keluar mengembara terlalu lama sehingga gering dibuatnya. Hayat baginda tidak lama, mangkatlah Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah lalu dimakamkan di Kota Langgar sebagai Almarhum Bukit Pinang II.
[ Selepas kota pemakaman diraja ini siap dibina oleh Tengku Ibrahim Raja Limbong, Almarhum adalah yang pertama dimakamkan dalam kota tersebut ]

Disebabkan Tengku Muhammad Jiwa masih belum balik ke Kedah, maka ditabalkan adindanya; Tengku Ahmad Tajuddin menjadi pengganti takhta sultan. Nak dipendekkan kisah, Sultan Ahmad Tajuddin kegeringan lalu mangkat di Kota Bukit Pinang dan dimakamkan berdekatan dengan makam ayahandanya. Disebabkan Sultan Ahmad Tajuddin tidak mempunyai putera, jadi bermuafakatlah para menteri lalu bersetuju untuk berpecah mencari Tengku Muhammad Jiwa agar dapat dibawa balik ke Kedah dengan segera.

Akhirnya, pertemuan diantara para penggawa dengan Bakalan Sultan dimakbulkan oleh Yang Maha Kuasa, di Pelabuhan Margui. Maka, para penggawa pun bawalah pulang Bakalan Sultan ke Kedah lalu ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-19 di Balai Penghadapan, Istana Bukit Pinang. Selepas pertabalan selesai maka diangkatlah dari Duli Baginda, gurunya sendiri yakni, Tuan Syeikh Abdul Jalil menjawat jawatan Dato’ Seraja Mufti manakala Hapiz Sab pula berjawatan sebagai Dato’ Maharaja Kadi.

Anakanda baginda pula, Tengku Long Putera diangkat sebagai Raja Tanah manakala adindanya Tengku Anjang diangkat sebagai Raja Laut. Kegemilangan di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa agak diluar jangkaan. Bayangkan, beberapa kawasan telah ditawan oleh Tengku Anjang, mengambil negeri Tongka, Terang, Kupah dan Randung hingga ke Mergui, Burma menjadikan kawasan pemerintahan Kesultanan Kedah ketika itu adalah yang paling luas ditadbir oleh Duli Baginda.

Dalam waktu yang sama, Balai Besar @ Istana Kota Setar dibina dan beberapa anak sungai dikorek bagi memudahkan pengangkutan. Setelah siap istana tersebut, maka berpindahlah seisi istana dari Istana Bukit Pinang ke Balai Besar. Dititahkan oleh Duli Baginda untuk dibuatkan binaan istana di Anak Bukit. Dikatakan Sultan Muhammad Jiwa memerintah Negeri Kedah Darul Aman selama 50-60 tahun anggarannya, menyamai pemerintahan zaman Sultan Abdul Hamid dan juga zaman Almarhum Sultan Abdul Halim; yakni tempoh pemerintahan paling lama dalam Kesultanan Kedah. Ketika itu juga diwujudkan sistem sukatan tanah dan juga sistem kewangan bagi barang dagangan yakni; Undang-Undang Kedah yang telah disusun syarat-syaratnya oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil kepada Duli Baginda.

Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II mangkat di Balai Besar selepas gering beberapa bulan dan dimakamkan di Kompleks Makam Diraja Langgar, Alor Setar dan digelar sebagai Almarhum Kota Setar Al-Awwal. Ada satu kisah dari penjaga makam tersebut mengatakan nisan makam Sultan Muhammad Jiwa menjadi rongga-rongga seperti batu laterit sedangkan makam tersebut dibawah teduhan kubah konkrit. Makam isteri almarhum, Paduka Bonda Che Nang Puan terletak berdekatan dengan makam almarhum.




Maka, begitulah cerita serba sedikit tentang Almarhum. Namun, dahulu ada pertikaian tentang lokasi makam almarhum sama ada di Langgar ataupun Anak Bukit setelah ditemui dua makam disana. Tetapi, kebanyakkan nya mengatakan lokasi sebenar adalah dalam Kompleks Makam Diraja Langgar. Kesultanan Kedah telah menunjukkan keupayaan mentadbir Kedah dan juga kawasan jajahan takluknya. Moga Allah merahmati setiap jerih perih almarhum untuk membangunkan Kota Setar. Al – Fatihah.

Nota:- Sungai yang dikorek pada zaman almarhum sewaktu pembinaan Kota Setar ialah Sungai Alor Semadom yang tembus ke Sungai Besar Pumpong dan satu cabang simpang lalu ikut Alor Kanchut, tembus ke Sungai Besar Pengkalan Badak @ Tambang Badak. Dan, korek satu simpang sungai ke Gedebang [ Derga ] tembus terus ke Geduk, Sungai Besar Pengkalan Kundur. Disini, boleh dianggarkan betapa besarnya Kompleks Istana Kota Setar pada awalnya. Namun, pembangunan di Kota Setar kini telah mengorbankan beberapa istana di sekitarnya.😔
#kotasetar #kesultanankedah #sultanmuhammadjiwa #balaibesar#balainobat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan