Isnin, 29 April 2019

Sungai Batu : Sezaman Tamadun Dunia

Ok, seperti mana yang telah diwar-warkan oleh beberapa pages sejarah tentang perubahan tahun kewujudan Sungai Batu. Terkini, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM telah mengumumkan perubahan tahun wujudnya Tapak Sungai Batu ialah pada tahun 788 SM berbanding yang direkodkan adalah tahun 587 SM. Ini bermakna, Tamadun Sungai Batu telah mewakili Kedah Tua sebagai tamadun yang maju seiring dengan kegemilangan tamadun dunia yang lain.

Maka, artikel kali ini aku akan menceritakan serba sedikit beberapa tamadun dunia yang berada dalam kronologi masa Tamadun Sungai Batu. Antaranya ialah:-

TAMADUN ASSYRIA
Lamassu dari Citadel of Sargon ll, dihasilkan antara tahun 720 - 705 SM.

Golongan Assyria mengambil nama mereka dari Assur, iaitu bandar yang terletak di Sungai Tigris, iaitu di Timur Utara Syria. Mereka merupakan orang yang berkuasa di Timur Dekat. Kira-kira pada 900 SM, kerajaan Assyria telah ditubuhkan. Assyria, dengan pusat yang begitu terkenal dan berjaya, iaitu di Nimrud, Khorsabad dan Nineveh, telah ditempatkan di dalam kota dengan struktur kemaharajaan dan meliputi kawasan di antara Sungai Tigris ke Nil dan dari Terluk Parsi ke Asia Kecil.

Shalmaneser III (858 SM–823 SM), mempunyai pemerintahan panjang selama 34 tahun, apabila ibukota Assyria telah bertukar kepada kem bersenjata. Setiap tahun tentera Assyria mara keluar darinya untuk merompak dan memusnah. Babylon telah dijajah, dan Babylonia dikurangkan ke orang pesuruhan. Dia bertempur terhadap Urartu, dan marakan satu tentera terhadap perikatan negeri Syria diketuai oleh Benhadad dari Damsyik, dan termasuk Ahab, raja dari Israel, pada Pertempuran Qarqar pada (854 SM). Meskipun huraian Shalmaneser 'mengalahkan penentangan', ia kelihatan pertempuran berakhir dalam kebuntuan, laksana pasukan Assyria telah berundur selepas itu.

Shalmaneser ambil semula Carchemish pada 849 SM, dan pada 841 SM marakan satu tentera terhadap Hazael, Raja dari Damsyik, mengepung dan ambil kota itu. Dia juga dibawa dibawah penghormatan Jehu dari Israel, Tyre, dan Sidon. Tugu hitamnya, dijumpai di Kalhu, merekodkan banyak eksploit tentera dari pemerintahannya. Sedikit akhir tahun dari hidupnya telah diganggu oleh pemberontakan dari anak sulung lelakinya yang hampir terbukti malapetaka. Assur, Arbela dan tempat lain sertai pembohong, dan pemberontakan telah dimansuhkan dengan kesukaran oleh Shamshi-Adad V, anak lelaki kedua Shalmaneser, yang kemudian menggantikannya (824 SM).

Abad berikutan, Assyria sekali lagi mengalami kemerosotan bandingan, terhutang ke pemerintah lebih lemah (termasuk Ratu Semiramis) dan satu kemunculan semula dalam perkembangan oleh Urartu. Pengecualian yang penting ini adalah Adad-Nirari III (810 SM–782 SM), yang menawan Damsyik pada 804, membawa Syria di bawah penghormatan sejauh selatan seperti Samaria dan Edom, dan yang mara terhadap Medes, mungkin jadi malah menembusi ke Laut Kaspia.
Perpustakaan Raja Ashurbanipal, dibina sama dengan Istana Nineveh. Nineveh adalah ibu kota Assyria dari abad ke-9 hingga ke-7 SM, tetapi telah dimusnahkan pada tahun 612 SM.


TAMADUN YUNANI
Patung Dewa Zeus, dibina diantara tahun 450 - 435 SM.

Yunani berkembang di Semenanjung Greece dan pulau-pulau di sekitarnya yang dikelilingi oleh Laut Aegean dan Laut Mediterranean. Tamadun ini bermula dengan pembentukan petempatan manusia yang dikenali sebagai negara kota atau Polis. Negara kota terbentuk hasil gabungan beberapa buah penempatan dan bandar pada sekitar tahun 1000-800 SM. Terdapat banyak negara kota pada zaman Yunani dan setiap negara kota mengandungi sebuah kota yang dikelilingi oleh kawasan pertanian dan di dalam kota terdapat pasar, kubu, kuil dan istana.

Walaupun terdapat banyak negara kota di Yunani tetapi yang paling menonjol ialah Athens, Sparta dan Corinth. Ketiga-tiga negara kota tersebut terletak berhampiran dengan Laut Mediterranean. Setiap negara kota memiliki corak pemerintahan dan undang-undang tersendiri selain turut memiliki beberapa tuhan.

Salah satu fakta yang popular adalah Sukan Olimpik. Asal Sukan Olimpik tidak lagi diketahui tetapi banyak lagenda tertulis bersama sama sukan ini. Sambutan pertama Sukan Olimpik yang direkodkan adalah pada 776 SM, walaupun tarikh ini bukanlah kali pertama Sukan Olimpik diadakan. Pada masa itu, hanya satu sahaja acara yang dipertandingkan.

Sejak itu, sukan mula menjadi penting dalam Yunani Purba dan mencapai kegemilangannya pada abad ke-6 dan ke-5 SM. Olimpik juga mempunyai kepentingan agama iaitu sebagai penghormatan kepada Dewa Zeus (patung besarnya ada di bandar Olympia). Pemenang sukan ini akan dihormati dan diabadikan dalam puisi dan dijadikan patung.

Sukan ini semakin hilang kepentingannya dengan penaklukan Rom ke atas kaum Yunani. Apabila agama Kristian menjadi agama rasmi Empayar Rom, Sukan Olimpik dianggap sebagai suatu amalan orang tidak beragama (pagan), maka Maharaja Theodosius mengharamkan pertandingan ini pada tahun 393 M, menandakan berhentinya sukan Olimpik selama ribuan tahun sehinggalah ia diadakan semula pada abad ke-19.
'Geometric Krate' dari makam Dipylon, Greece. Tembikar ini telah ditanam kira-kira pada tahun 740 SM menandakan kubur seorang lelaki.

Dua tamadun ini telah menunjukkan kegemilangan dan kebangkitan beberapa siri peradaban kaum yang melibatkan antara satu sama lain, begitu juga dengan Tamadun Sungai Batu. Dibawah ini adalah kronologi tahun mengikut beberapa tamadun.

= 797 SM - Ardysus I menjadi Raja Lydia.
= 797 SM - Thespieus, Raja Athens, mangkat selepas memerintah selama 27 tahun, dan diwarisi oleh anak lelakinya, Agamestor.
= 783 SM - Shalmaneser IV mewarisi bapanya, Adad-Nirari III, sebagai Raja Assyria.
= 782 SM - Pengasasan Erebuni di bawah perintah Raja Argishtis I di kawasan Yerevan kini.
= 782 SM - Kemangkatan Raja Xuan dari Zhou, Raja Dinasti Zhou di China.
= 781 SM - Raja You dari Zhou menjadi Raja Dinasti Zhou di China.
= 780 SM - Gerhana suria bersejarah yang pertama dicatatkan di China.
= 778 SM - Agamestor, Raja Athens, mangkat selepas pemerintahan selama 17 tahun, dan diwarisi oleh anak lelakinya, Aeschylus.
= 776 SM - Sukan Olimpik pertama yang dicatat. Sejarah Sukan ini dipercayai bermula sejak abad ke-13 SM lagi, tetapi rekod yang lebih awal tidak wujud.
= 774 SM - Keakhiran pemerintahan Pygmalion dari Tyre.
= 773 SM - Kemangkatan Shoshenq III, Raja Mesir.
= 773 SM - Ashur-Dan III mewarisi abangnya, Shalmaneser IV, sebagai Raja Assyria.
= 771 SM - Keakhiran Dinasti Zhou Barat di China apabila puak-puak gasar "barat" menjarah ibu kota Hao dan membunuh Raja You dari Zhou. Putera Mahkota Ji Yijiu melarikan diri dan kemudian memerintah sebagai Raja Ping dari Zhou.
= 770 SM - Permulaan Dinasti Zhou Timur di China apabila Raja Ping menjadi raja Zhou yang pertama untuk memerintah dari Chengzhou, ibu kota baru di Luoyang kini.

Tamadun Sungai Batu di Kedah Tua adalah tapak pengeksport besi ke seluruh benua kerana penemuan beberapa tapak peleburan besi dan tuyere. Tambahan pula, ketika itu di Asia Tenggara berada dalam Era Zaman Besi (1200-200 SM), satu zaman permulaan kepada peleburan besi setelah berakhirnya Zaman Logam (Bronze Age). Disebabkan itulah, Kedah Tua banyak panggilan nama di dalam pelbagai catatan purba. Inilah salah satu bukti yang ditunjukkan pada masyarakat Malaysia tentang peradaban yang gah sewaktu ketika dahulu.

Nota:- Pemberitahuan ini agak mengembirakan untuk para pengkaji dan pencinta sejarah. Namun, bagi aku masih rasa sangsi. Adakah perubahan terbaru ini akan memberi kesan kepada anjakan paradigma terhadap Tapak Sungai Batu atau sekadar kawasan yang 'hidup segan mati tak mahu'? Ya, memang diakui Sungai Batu tidak ada binaan yang tinggi, membolehkan para pelawat ber'selfie' namun itulah realitinya pabila kehendak netizen itu tiada dalam senarai mereka. Allahuakhbar.

Jadi, mohon pada masyarakat sebarkan lah cerita Tapak Sungai Batu dan Lembah Bujang sebagai satu destinasi keluarga dan para pelajar untuk tambah pengetahuan sejarah Tamadun Purba Kedah Tua. Rasai sendiri pengalaman berada disana sambil berpeluang berekskavasi dengan barang-barang lama. Apapun, Kedah Tua ternyata sebagai satu Tamadun Tertua di Asia Tengggara dan Dunia. Sekian.

Khamis, 18 April 2019

Nisan Makam : Satu Perbandingan

Pagi ini, nak kongsi satu perbandingan artifak. 

Seri Paduka Maharaja Derbar Raja adalah pemerintah ke-9 dari jalur Merong Mahawangsa yang memeluk Islam dengan memakai gelaran Sultan Al-Mudzaffar Shah I, Sultan Kedah Pertama. Baginda bersemayam di Kota Bukit Meriam bersama tiga cahaya mata; Raja Muda Tunku Mahmud, Laksamana Tunku Sulaiman dan Sultan Mu'adzam Shah.

Satu penemuan makam di Bukit Meriam dan dikatakan milik Sultan Al-Mudzaffar Shah I. Persoalannya, siapakah gerangan empunya makam di Pengkalan Bujang?

Disini aku nak rungkaikan sikit. Pemerintahan Sultan Kedah Pertama bermula pada 531H/ 1136M di Kota Bukit Meriam, diikuti dengan keturunannya Sultan Mu'adzam Shah [ 575H/1179M ] dan Sultan Muhammad Shah [ 598H/1202M ]. Selepas itu, berpindah ke Kota Sungai Mas dan bersemayam pula Sultan Mudzil Shah [ 634H/1236M ] sehingga lah Sultan Kedah Ke-5, Sultan Mahmud Shah [ 679H/1280M ] barulah pusat pemerintahan berpindah ke Kota Seputih, kawasan Jitra. Bermakna, ada 5 keturunan kerabat sultan yang memerintah telah dimakamkan sekitar Kota Kuala Muda, Kota Sungai Mas dan sekitar Bukit Berangan.

Dari apa yang aku dapat, bentuk nisan Aceh di Pengkalan Bujang adalah dari abad ke-17 Masihi, motif petola berhias motif mahkota teratai dan sudah tentu ianya lari jauh dari kronologi masa dengan Sultan Kedah Pertama. Berkemungkinan, makam di Lembah Bujang adalah kerabat Diraja Kedah. Tambahan pula, tidak jauh dari kawasan itu ada beberapa tinggalan istana misalnya Istana Pulau Tiga/Istana Merbok. Bahkan, Tapak Arkeologi Sungai Batu yang seluas 1-4 km persegi menjadi ukuran peradaban disitu.

Berbeza pula bentuk nisan di Kota Sungai Mas yang merujuk kepada zaman pemerintahan kerajaan Samudera Pasai, bermotifkan sulur kacang dan bunga cempaka serta motif itik pulang petang yang wujudnya pada abad ke-13 Masihi. Dikatakan milik Sultan Mudzil Shah dan Sultan Mahmud Shah yang pernah naiki takhta di Kota Sungai Emas.

Rasanya, makam di Bukit Meriam memang tak disangkal lagi milik Sultan Al-Mudzaffar Shah I kerana bentuk nisannya tak serupa dengan kajian nisan yang lain sebabkan ianya besar dan leper dan mungkin nisan paling tua yang wujud dalam Kedah. Tambahan pula, ada beberapa sahabat yang menjumpai ukiran yang seakan namun masih utuh di kawasan Bukit Berangan kerna materialnya adalah sama.

Namun, dalam samar-samar, aku terkejut apabila mengetahui muara sungai Muda adalah muara baru. Kerna, telah menjumpai satu catatan yang mengatakan asal alur sungai tersebut mengalir ke muara sungai Merbok. Namun, disebabkan arus sungai Muda terlalu kuat sehingga memakan tebing , dikuatiri akan menenggelamkan perkampungan di Tikam Batu. Maka, titah sultan ketika itu disuruh para penduduk agar membelat alur sungai tersebut. Maka, wujudlah muara sungai seperti sekarang ini. Boleh google map di kawasan Jambatan Merdeka antara Bumbung Lima dengan Tikam Batu, ada satu sungai yang sudah 'dipalam' dan mati.

Bayangkan, zaman itu sudah ada pembinaan kota, pelabuhan dan boleh belat sungai. Perlukah kita mengatakan tamadun itu masih mundur? Sedangkan sudah mempunyai satu sistem pemerintahan yang hebat! Maka, setakat itu sahaja nukilan aku pada pagi ini.

Nota:- Alhamdulillah, satu persatu artifak sudah timbul ke permukaan untuk dinilai dan menjadi bukti peradaban kepada Kedah Tua. Jadi, janganlah tunggu ia dimamah bumi sekali lagi. Sekian, Selamat Pagi.

Khamis, 11 April 2019

Dendangan Regalia Diraja Kedah

Sambil-sambil layan buat kerja , aku rasa sempat lagi nak menaip untuk artikel ini; yakni penutup ceritera Kota Setar. Mesti pelik dengar tajukkan? Ok, kali ini aku akan bercerita tentang Balai Nobat. Kenapa aku gelarkan sebagai "Dendangan Regalia Diraja Kedah" ? Kerna ia telah menyaksikan pertabalan 9 Maharaja dari keturunan Merong Mahawangsa yang memerintah Kedah Tua serta pertabalan 29 Sultan yang memerintah Kedah Darul Aman.

Menurut catatan manuskrip, Regalia Negeri Kedah bermula dengan tiga alat kebesaran , iaitu;-
# "MAHAGURU" , sebatang tongkat daripada rotan.
# "NAGARA" , sebuah gendang besar/Nakara/Tabuh.
# "NEPIRI" , sebuah alat meniup seperti seruling/serunai.

Ditambah empat peralatan daripada kemuliaan Hindu;-
# Dua gendang
# Dua serunai [ Kecil & Besar ]

Ditambah dua lagi peralatan daripada kemuliaan Jawa:-
# Dua gong [ Kecil & Besar ]

Maka, pabila diragamkan kesemuanya telah menjadi sembilan perkara, dinamakan naubat. Perkataan 'nau' berakar kata Sanskrit dan Parsi, beerti sembilan. Dendangan naubat dikatakan bermula sewaktu Maharaja Derbar Raja @ Merong Mahawangsa membuka Kota Langkasuka. Menjadi adat ianya bergema ketika ada sambutan diraja atau kematian.

Naubat ketika itu dimainkan di perkarangan Balai Penghadapan menjadikan dendangan itu didengari oleh masyarakat tentang hal-hal rasmi diraja. Zaman silih berganti, 9 Maharaja sudah berlalu pergi. Maka ditakdirkan kepada Raja Phra Ong Mahawangsa @ Sri Paduka Maharaja Derbar Raja akan suka dan kagum dengan Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairi.

Di Balai Rong Seri Diraja Kedah, disaksikan para seisi istana akan lafaz kalimah Syahadah oleh Sri Paduka Maharaja Derbar Raja didepan Syeikh Abdullah Al-Qumairi pada 531 H / 1136 M di Kota Bukit Meriam. Selang 5 tahun keislaman Duli Baginda, telah bertitah kepada Syeikh Abdullah Al-Qumairi untuk menukar nama baginda dan nama negeri. Maka, dijunjung titah raja oleh ulama tersebut dengan mendirikan solat dua raakat. Seusai solat, lalu mengadap kepada Duli Baginda seraya berkata; "Daulat Tuanku Zillullah Fil Alam Al-Sultan Al-Mudzaffar Shah ", lalu disambungnya lagi; "Subhanahu Wa Ta'ala, Sultan dan Negeri Kedah Darul Aman ini turun menurun sampai kepada anak cucu cicit. Sultan berkekalan di atas takhta kerajaan selama-lamanya".

Sekalian seisi istana mengatakan "Amiinn", maka bergemalah dengan gemuruh Naubat Nipiri dan Gong Pengerah di Balai Rong Seri sehingga didengari oleh rakyat kota tanda kesukaan seisi negeri. Syahadan , mengadap sekali lagi Syeikh Abdullah menyembah kata pendapat kepada Duli Baginda, agar diperletakkan hukum kepada Kalau Naubat akan peringatan waktu solat dan hari kemuliaan melalui paluan naubat. Sejak itulah, naubat akan dipalu menandakan masuknya waktu solat.

Sewaktu pembukaan Kota Setar oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah ll, telah dibina satu menara berhadapan Balai Besar untuk mengangkat martabat regalia diraja ini lalu dipanggil dengan nama, Balai Nobat. Melalui cacatan lain, pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah membaiki menara atap setinggi 40 kaki serta bumbung atap Masjid Negeri yang dibina oleh moyanganda Duli Baginda, Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah l. Kini, tapak masjid itu didirikan bangunan Mahkamah Tinggi.

Zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, telah berlaku pengubahsuaian dan penyelenggaraan bangunan secara besar-besaran di dalam Kompleks Istana Kota Setar. Maka, ditukarkan Balai Nobat dengan binaan batu setinggi 4 tingkat mengantikan Balai Nobat yang lama. Disebabkan Balai Nobat yang lama telah berjasa berabad lamanya, ia telah dihadiahkan kepada Madrasah Tok Janggut di Langgar.

Memasuki Era Pemerintahan Sultan Badlishah dan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, pihak istana terpaksa mengorbankan beberapa bangunan untuk memberi laluan kepada pembangunan dan infrastruktur dalam Bandar Alor Setar. Diantaranya ialah:-

1) Istana Tengah, Kompleks Istana Kota Setar
Tapak istana ini diberi atau dijual kepada kerajaan pusat untuk pembinaan Bangunan Wisma Persekutuan. Gerbang pintu istana ini telah dibangunkan sebagai replika bersebelahan dengan Balai Nobat.

2) Menara Pencaka Diraja, Kompleks Istana Kota Setar.
Tapak menara ini berada dibelakang Balai Besar merujuk kepada beberapa gambar Majlis Istiadat Pensohoran Diraja yang dibuat secara besar-besaran oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

3) Istana Tunku Yaakob, Kompleks Istana Kota Setar.
Tapak istana ini telah di dirikan Plaza Tunku Yaakob sebelum dirobohkan dan dibangunkan Aman Central.

4) Istana Sepachendera, Kompleks Istana Kota Setar.
Istana ini telah dijadikan Sek. Ren. Sultan Abdul Halim (Bekas Sek. Perempuan Sultanah Asma). Namun, selepas sekolah tersebut pindah ke tempat baru, dikatakan pernah menjadi bangunan sementara oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kota Setar. Istana ini masih wujud namun ia tak ubah seperti 'Bom Jangka'. Bila-bila masa akan rebah ke bumi.
[ Catatan: Istana ini juga digelar sebagai Istana Kampung Bharu, dimana bersemayam nya Sultan Abdul Hamid Halim Shah ]

6) Istana Bakar Bata, Jalan Stadium.
Tapak istana ini telah dijadikan sebagai Stadium Darul Aman. Ia telah diruntuhkan selepas Perang Dunia Ke-2. Pernah menjadi kediaman rasmi oleh Presiden British Kedah, Sir W.G. Maxwell.

7) Kota Akar Peluru, Jalan Sultan Abdul Halim.
Tapak kota ini telah dibangunkan penempatan untuk penduduk sekitar.

Balai Nobat ini juga tidak terkecuali daripada beberapa kisah misteri, antaranya ialah kedengaran paluan naubat dalam menara ini sedangkan ia sudah tidak digunakan lagi semenjak pemerintahan Sultan Abdul Halim. Beberapa istana yang masih kekal sehingga sekarang ialah:-
- Istana Pelamin
- Istana Pemangku Raja
- Istana Kuning
- Istana Tiga Tingkat

Jadi, begitulah pengakhiran tentang tiga mercu tanda Negeri Kedah yang dapat ku kongsikan. Sebuah kompleks istana yang menempatkan beberapa singgahsana kerabat diraja, kini hanyalah monumen bisu tanpa penceritaan yang sebenarnya. Penceritaan tentang Balai Nobat ini juga terkena tempiasnya apabila beberapa pihak cuba menokok tambah kononnya Balai Nobat ini pernah rentung.

Pelestarian khazanah negara khususnya Negeri Kedah bukan dipikul oleh pihak kerajaan semata-mata. Ianya adalah tanggungjawab kita sebagai generasi yang memegang sejarah tamadun kita sendiri. Buanglah sikap "TIDAK PEDULI" itu untuk anak bangsa yang akan datang. Disebabkan masyarakat sudah hilang peka terhadap fakta sejarah, ada beberapa pihak telah menggunakan kesempatan itu untuk kepentingan diri sendiri.

Maka, ini nasihat ku kepada para pelajar sekolah dan pelajar IPT, ambil tahu tentang sejarah kita, buat perbandingan antara beberapa catatan yang ada. Tak rugi pun kalau tambah pengetahuan kita. Sekian daripada diriku.

Nota:- Inilah realiti bagi para pengkaji yang bergerak solo mahupun berkumpulan. Stigma masyarakat masih ditakuk lama. Salahkan kerajaan, kenapa sekarang? Kenapa kita hari ini baru nak belek balik 7 Wasiat Raja-Raja Melayu, baru nak terkial-kial buka sejarah purba, baru nak ambil tahu sejarah penjajahan Jepun?

Kenapa bukan dari dulu lagi sepatutnya kita belajar dan mencari fakta sejarah kita? Sebab masyarakat sendiri menganggap mereka adalah "Anak Emas" kepada tanah ini disebabkan ia termaktub dalam perlembagaan. 

Terasa? Lagi kecil hati kalau didengari para pejuang dahulu yang sudah gadaikan nyawa tuk pertahankan tanah pertiwi ini daripada musuh. Inilah pahit sejarah yang kita kena telan, iaitu sejarah Melayu sedang DIBUNUH oleh bangsanya sendiri. Maka, telanlah kenyataan ini!

"JANGAN ENGKAU MENJUNJUNG MADU YANG LALU, SEDANGKAN IA ADA HAMPASNYA"

Selasa, 9 April 2019

Masjid Zahir : Keindahan Disebalik Luka Lama

Alang-alang hari ini semangat dah terlajak, maka cuba juga untuk aku menaip walaupun masih cetek pengetahuan tentang Sejarah Kedah. Biasalah, baru setahun jagung dalam bidang ini. Apapun, kini ditengah Kota Setar ada satu bangunan yang menjadi ikon atau mercu tanda Negeri Kedah iaitu Masjid Zahir. Tetapi, ada beberapa kawan sejarah aku yang sudi berkongsi maklumat buat tatapan umum. Dan, perkongsian itu agak mengejutkan sebab aku tak tahu tentang pembinaan masjid tersebut ada tersembunyi satu peristiwa duka yang tidak dapat dilupakan.

Masjid Zahir telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, diketuai oleh anakandanya, Tengku Mahmud pada tahun 1913. Pelan Masjid Zahir telah dilakarkan oleh Tuan G. Guman, State Engineer atas titah Tengku Mahmud. Namun, ada satu peristiwa yang membuatkan kerja pembinaan masjid tersebut agak lewat.

Tapak Masjid Zahir sebenarnya adalah bekas tanah perkuburan para pejuang syahid Perang Musuh Bisik 1825. Dikatakan, tapak ini menjadi satu tanah perkuburan yang agak luas, menyimpan ratusan jasad para pejuang yang terkorban sewaktu perang itu terjadi. Maka, para pekerja mula memindahkan kubur-kubur pejuang itu ke Alor Merah dan juga Akar Peluru.

Usia tanah perkuburan itu menjangkau 88 tahun menyebabkan banyak lagi kubur-kubur yang bernirai-nirai di perkarangan masjid hingga ke tebing sungai tanpa nisan tidak dapat dipindahkan. Ada beberapa kelompok kuburan para pejuang tersebut telah dikesan disekitar Kota Setar seperti di kawasan Mahkamah Rendah bersebelahan dengan Sungai Kedah [ Terusan Wan Mad Saman ], di Tanjung Bendahara, kawasan perkuburan besar, di Alor Kanchut, yang telah menempatkan jasad Sri Paduka Raja Laksamana bersama para pejuang yang lain, di kawasan Derga dan di kawasan Anak Bukit [ Sewaktu hendak dibina kilang padi ].

Rentetan itu, telah dikesan lagi ratusan kubur pejuang syahid di Limbong dan juga Langgar; ditandai dengan nisan-nisan cantik yang berselerak. Ada juga ratusan yang lain ditandai dengan batu-batu kerikil. Juga, beberapa lagi di sekitar kawasan Alor Ganu, Kota Naga, Kuala Kedah, Kalai, Bukit Wang, kampung Pulau Pisang, dan Perlis serta Setol. Subhanallah, tak terkira dengan ribuan para pejuang Kedah yang syahid mempertahankan kedaulatan tanah ini.

Pembinaan Masjid Zahir dianggarkan mengambil masa 2 - 3 tahun. Pada 15 Oktober 1915, disaksikan oleh penghulu hari yakni; hari Jumaat, dimulai buka untuk rakyat Kedah. Apabila ketika itu telah memasuki waktu Zohor, Haji Wan Ismail telah kumandangkan azan, menandakan Solat Jumaat akan bermula. Lalu, Tengku Mahmud pun berangkat naik di atas mimbar, membaca khutbah dengan jelas. Selesai dua khutbah itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah berdiri menjadi Imam Solat Jumaat.

Begitulah kisah serba sedikit tentang Masjid Zahir Kota Setar. Walau Bagaimanapun, aku agak terkilan kepada ribuan pejuang yang syahid dalam Perang Musuh Bisik. Dsini, aku boleh rungkaikan beberapa fakta yang berkait rapat dengan jelajah ekskavasi pada bulan lepas. Mungkin terjawablah nama pemilik makam nisan Aceh di kawasan Tugu Peringatan Jepun. Siri Perang Musuh Bisik telah disambut oleh beberapa panglima, para ulama, dan laksamana untuk turut serta dalam perjuangan.

Antaranya ialah :-
- Panglima Hitam
- Tok Serban Hijau
- Tok Tungkat
- Tok Janggut
- Keramat Anak Dara
- Tok Amar
- Tok Raja
- Tok Jambi
- Tok Pasai
- Tok Siak
- Tok Kemboja
- Syeikh Mas'ud

Beberapa pucuk meriam pertahanan Kota Setar yang berjasa menghiasi perkarangan Masjid Zahir, menjadi kesan peninggalan kepada tapak atau medan pertarungan antara Islam dengan bukan Islam lebih 200 tahun dahulu. Moga Allah s.w.t meletakkan para syuhada Kedah di bawah lembayung Ar-Rahman dan diberkati oleh-Nya. Salam Takziah, Al - Fatihah.

Nota:- Awalnya aku agak terkejut dengan perkongsian dari kawan tentang penemuan ratusan kubur syuhada Kedah disekitar ceruk daerah negeri ini. Tetapi, ingatlah wahai masyarakat terutamanya rakyat Kedah, sekarang ada pihak yang cuba untuk memadamkan fakta-fakta sebegini supaya nanti kita takkan tertanya-tanya tentang rentetan sejarah hitam tersebut. Dan juga, berhati-hati dengan beberapa maklumat sejarah yang telah diubah suai serta ditokok tambah atas dasar kepentingan individu tersebut.

Kalau sekarang kita masih lagi BUTA SEJARAH, usah menyesal di masa hadapan kelak ianya tidak akan kedengaran. Janganlah menyesal kalau Geng Chola iktiraf Melaka dan Lembah Bujang. Sekian.

Ceritera Kota Setar Al-Awwal

Malam ini aku akan cerita sikit tentang seorang sultan yang telah membuka Kota Setar dan bersemayam di Balai Besar yang kini masih lagi tersergam indah dihadapan Masjid Zahir bersaksikan Balai Nobat. Mungkin hampa akan penat baca artikel ini sebab panjang aku menaipnya. Sultan yang akan ku ceritakan ialah; Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II, Sultan Kedah Ke-19 yang menaiki takhta Kerajaan Kedah selepas pulang daripada pengembaraan menuntut ilmu agama.

Nama penuh beserta gelaran baginda adalah; Al-Azizul Mulk Al-Qadir Al-Ghalib Ghahral Maglubus-Sultan Khalifatullah ‘Ala Da’irah Kedah, Paduka Sri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II Khalifatul Rahman Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Mu’adzam Shah. Waktu zaman pemerintahan ayahanda beliau yakni Sultan Abdullah Mu’adzam Shah, Tengku Muhammad Jiwa telah minta izin perkenan untuk mengembara sambil melihat dunia luar. Setelah berpikiran, ayahandanya beri izin kepada Tengku Muhammad Jiwa. Dikatakan Tengku Muhammad Jiwa keluar dari istana tanpa pengetahuan seisi nya.

Pengembaraan Tengku Muhammad Jiwa telah singgah ke Negeri Jambi, hingga masuk ke Palembang. Tak beberapa lama, Tengku Muhammad Jiwa pun berguru dengan seorang pendita daripada bangsa Arab, namanya Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahab bin Tuan Syeikh Ahmad Al-Mahdani, Yaman, Bandar San’a; mengaji bab hukum agama. Berada di Palembang selama 6 bulan dan selepas itu Tuan Syeikh Abdul Jalil pun belayar ke Tanah Jawa diikuti dengan Tengku Muhammad Jiwa. Seterusnya, mereka belayar pula ke India. Tengku Muhammad Jiwa pun tiada berenggang dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil. Dalam perjalanan ke negeri-negeri India, berjumpa pula seorang India menjadi anak murid kepada Tuan Syeikh, namanya Hapiz Sab.
Makam Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani dengan anaknya Syeikh Abdullah Khir.

Beberapa lama Tengku Muhammad Jiwa berada disamping Tuan Syeikh, tidaklah ragu sikit pun akan status anak muridnya itu. Di Tanah Kedah dalam istana, Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah mulai sugul, risaukan anakandanya yang keluar mengembara terlalu lama sehingga gering dibuatnya. Hayat baginda tidak lama, mangkatlah Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah lalu dimakamkan di Kota Langgar sebagai Almarhum Bukit Pinang II.
[ Selepas kota pemakaman diraja ini siap dibina oleh Tengku Ibrahim Raja Limbong, Almarhum adalah yang pertama dimakamkan dalam kota tersebut ]

Disebabkan Tengku Muhammad Jiwa masih belum balik ke Kedah, maka ditabalkan adindanya; Tengku Ahmad Tajuddin menjadi pengganti takhta sultan. Nak dipendekkan kisah, Sultan Ahmad Tajuddin kegeringan lalu mangkat di Kota Bukit Pinang dan dimakamkan berdekatan dengan makam ayahandanya. Disebabkan Sultan Ahmad Tajuddin tidak mempunyai putera, jadi bermuafakatlah para menteri lalu bersetuju untuk berpecah mencari Tengku Muhammad Jiwa agar dapat dibawa balik ke Kedah dengan segera.

Akhirnya, pertemuan diantara para penggawa dengan Bakalan Sultan dimakbulkan oleh Yang Maha Kuasa, di Pelabuhan Margui. Maka, para penggawa pun bawalah pulang Bakalan Sultan ke Kedah lalu ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-19 di Balai Penghadapan, Istana Bukit Pinang. Selepas pertabalan selesai maka diangkatlah dari Duli Baginda, gurunya sendiri yakni, Tuan Syeikh Abdul Jalil menjawat jawatan Dato’ Seraja Mufti manakala Hapiz Sab pula berjawatan sebagai Dato’ Maharaja Kadi.

Anakanda baginda pula, Tengku Long Putera diangkat sebagai Raja Tanah manakala adindanya Tengku Anjang diangkat sebagai Raja Laut. Kegemilangan di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa agak diluar jangkaan. Bayangkan, beberapa kawasan telah ditawan oleh Tengku Anjang, mengambil negeri Tongka, Terang, Kupah dan Randung hingga ke Mergui, Burma menjadikan kawasan pemerintahan Kesultanan Kedah ketika itu adalah yang paling luas ditadbir oleh Duli Baginda.

Dalam waktu yang sama, Balai Besar @ Istana Kota Setar dibina dan beberapa anak sungai dikorek bagi memudahkan pengangkutan. Setelah siap istana tersebut, maka berpindahlah seisi istana dari Istana Bukit Pinang ke Balai Besar. Dititahkan oleh Duli Baginda untuk dibuatkan binaan istana di Anak Bukit. Dikatakan Sultan Muhammad Jiwa memerintah Negeri Kedah Darul Aman selama 50-60 tahun anggarannya, menyamai pemerintahan zaman Sultan Abdul Hamid dan juga zaman Almarhum Sultan Abdul Halim; yakni tempoh pemerintahan paling lama dalam Kesultanan Kedah. Ketika itu juga diwujudkan sistem sukatan tanah dan juga sistem kewangan bagi barang dagangan yakni; Undang-Undang Kedah yang telah disusun syarat-syaratnya oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil kepada Duli Baginda.

Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II mangkat di Balai Besar selepas gering beberapa bulan dan dimakamkan di Kompleks Makam Diraja Langgar, Alor Setar dan digelar sebagai Almarhum Kota Setar Al-Awwal. Ada satu kisah dari penjaga makam tersebut mengatakan nisan makam Sultan Muhammad Jiwa menjadi rongga-rongga seperti batu laterit sedangkan makam tersebut dibawah teduhan kubah konkrit. Makam isteri almarhum, Paduka Bonda Che Nang Puan terletak berdekatan dengan makam almarhum.




Maka, begitulah cerita serba sedikit tentang Almarhum. Namun, dahulu ada pertikaian tentang lokasi makam almarhum sama ada di Langgar ataupun Anak Bukit setelah ditemui dua makam disana. Tetapi, kebanyakkan nya mengatakan lokasi sebenar adalah dalam Kompleks Makam Diraja Langgar. Kesultanan Kedah telah menunjukkan keupayaan mentadbir Kedah dan juga kawasan jajahan takluknya. Moga Allah merahmati setiap jerih perih almarhum untuk membangunkan Kota Setar. Al – Fatihah.

Nota:- Sungai yang dikorek pada zaman almarhum sewaktu pembinaan Kota Setar ialah Sungai Alor Semadom yang tembus ke Sungai Besar Pumpong dan satu cabang simpang lalu ikut Alor Kanchut, tembus ke Sungai Besar Pengkalan Badak @ Tambang Badak. Dan, korek satu simpang sungai ke Gedebang [ Derga ] tembus terus ke Geduk, Sungai Besar Pengkalan Kundur. Disini, boleh dianggarkan betapa besarnya Kompleks Istana Kota Setar pada awalnya. Namun, pembangunan di Kota Setar kini telah mengorbankan beberapa istana di sekitarnya.😔
#kotasetar #kesultanankedah #sultanmuhammadjiwa #balaibesar#balainobat